RED Giants perlu lebih hat-hati berdepan Kuala Lumpur. -Foto fail
RED Giants perlu lebih hat-hati berdepan Kuala Lumpur. -Foto fail
Aziman Rosdi


JURULATIH sementara Selangor, Muhammad Nazliazmi Mohamad Nasir mahu anak buahnya lebih berwaspada dengan ancaman musuh setempat, Kuala Lumpur pada aksi suku akhir Piala FA, bulan depan.

Meskipun skuad Red Giants itu mengatasi Kuala Lumpur 2-0 dalam pertembungan tetangga Lembah Klang bulan lalu, namun beliau mengakui pasukan lawan itu sudah banyak mempamerkan peningkatan termasuk mengalahkan Johor Darul Ta’zim (JDT) 1-0 dan Kedah 4-3 dalam saingan Liga Super.

“Kita semua tahu, Kuala Lumpur pasukan yang mantap di semua posisi, jadi Selangor akan cuba yang terbaik untuk memberikan tentangan hebat.

“Selepas kita mengalahkan Kuala Lumpur, mereka sudah mempersiapkan pasukan dengan lebih baik, kemungkinan mereka akan lebih baik berbanding ketika mereka tewas sebelum ini,” katanya.

Selangor, juara lima kali mara ke suku akhir selepas menewaskan Terengganu 3-1 manakala Kuala Lumpur yang dibimbing Fabio Magrao menyingkirkan Melaka United menerusi penentuan sepakan penalti 3-1 selepas terikat 1-1 pada aksi sebenar.

Nazliazmi yang mengambil alih tugas P Maniam yang direhatkan susulan prestasi hambar dalam liga percaya, saingan lebih terbuka dengan dua aksi timbal balik berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, di Cheras.

“Saya rasa saingan akan terbuka kerana ia stadium yang digunakan oleh kedua-dua pasukan. Ia pasti pertemuan lebih baik berbanding sebelum ini dan semoga kemenangan menyebelahi pasukan Selangor,” katanya.

Nada keyakinan turut disuarakan oleh Magrao yang tidak mahu anak buahnya dikecewakan sekali lagi dengan seteru tradisi itu.

“Ia bagus untuk beraksi dua perlawanan di gelanggang sama. Jadi kami tidak perlu mengharungi perjalanan jauh, sama juga dengan Selangor. Saya tiada tekanan dan saya percaya kami dalam landasan terbaik untuk merebut kejuaraan cuma kami tak boleh melakukan kesilapan,” kata jurulatih dari Brazil itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Mac 2018 @ 8:14 PM