NAZLIAZMI MOHAMAD NASIR
NAZLIAZMI MOHAMAD NASIR
Zulfaizan Mansor


SELEPAS meratah Terengganu dan Kuala Lumpur, sasaran Selangor kini terarah kepada Kedah untuk dijadikan mangsa ketiga mereka apabila kedua-dua pasukan bertembung pada aksi keenam Liga Super di Stadium Darul Aman, esok.

Selangor yang mendapat sentuhan jurulatih baharu, Nazliazmi Mohamad Nasir mempamerkan kebangkitan cemerlang apabila menundukkan Terengganu 3-1 pada 16 Mac lalu dan Kuala Lumpur 3-0 (Sabtu lalu) dalam saingan Piala FA, kedua-dua kemenangan itu diraih di gelanggang lawan.

Nazliazmi berkata, misi utama dibawa skuad The Red Giants ke Darul Aman adalah untuk menamatkan rekod buruk dalam Liga Super selepas tewas tiga kali berturut-turut dalam aksi terakhir sebelum ini.

“Kami menghormati Kedah sebagai satu pasukan yang baik dan hebat dalam Liga Super. Jadi, kami tidak boleh mengambil mudah terutama apabila mereka beraksi di gelanggang sendiri.

“Sudah pasti kami inginkan kemenangan dan membawa pulang mata dari Kedah selepas mengalami tiga kekalahan dalam perlawanan liga sebelum ini. Bukan mudah, tapi ia juga tidak mustahil.

“Apa yang saya lihat, kedua-dua pasukan mempunyai peluang seimbang. Bagi Selangor, sudah pasti kami akan memberikan tentangan sengit kepada Kedah,” katanya, hari ini.

Kali terakhir Selangor meraih kemenangan dalam Liga Super pada 7 Februari lalu ketika menewaskan Melaka United 4-1 dan selepas itu mereka tewas 1-4, 1-3 dan 0-3 kepada Terengganu, Pahang dan Perak.

Nazliazmi yang dipilih sebagai pengganti P Maniam yang direhatkan pada 14 Mac lalu lulus dua ujian awal ketika berdepan Terengganu dan Kuala Lumpur dengan Rufino Segovia meledak dua gol bagi setiap perlawanan itu.

Selain sekali lagi mengharapkan sentuhan berbisa Segovia, satu lagi perkhabaran gembira diterima Nazliazmi untuk perlawanan esok apabila Azamuddin Akil sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan.

“Moral semua pemain berada pada tahap terbaik terutama selepas meraih dua kemenangan berturut-turut dan Alex (Azamuddin) yang sudah bersedia diturunkan pada bila-bila masa akan memperkuatkan lagi jentera pasukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 April 2018 @ 5:56 PM