NAZLIAZMI (gambar kecil) dilantik jurulatih Selangor manakala Rusdi isi kekosongan penolong jurulatih. -Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM
NAZLIAZMI (gambar kecil) dilantik jurulatih Selangor manakala Rusdi isi kekosongan penolong jurulatih. -Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM
Aziman Rosdi


PERSATUAN Bolasepak Selangor (FAS) membuat keputusan menaikkan ‘pangkat’ Muhammad Nazliazmi Mohamad Nasir sebagai jurulatih Selangor berkuat kuasa hari ini bagi menggantikan P Maniam yang direhatkan pada 14 Mac lalu.

Ia keputusan agak mengejutkan apabila bekas pemain Red Giants, Rusdi Suparman yang dikatakan bakal kembali untuk mengisi kekosongan itu hanya diberikan kontrak sebagai penolong jurulatih.

Menurut pengurus pasukan, Datuk Abdul Rauf Ahmad, beliau percaya kombinasi Nazliazmi dan Rusdi bakal mencetuskan satu dimensi baharu untuk mereka mengharungi baki saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

“Kami membuat keputusan untuk melantik Nazliazmi kerana beliau menunjukkan keserasian bersama pemain ketika menjadi jurulatih sementara. Kita boleh lihat perubahan daripada segi taktikal, semangat serta beliau mempunyai karakter.

“Saya fikir tidak ada masalah untuk Rusdi menjadi penolong jurulatih kepada Nazliazmi memandangkan mereka pernah bekerjasama ketika membimbing skuad Piala Presiden Selangor. Nazliazmi dan Rusdi masih muda, pernah bersama Selangor, anak jati Selangor, jadi kita berharap elemen ini akan melonjakkan lagi pasukan Selangor,” katanya ketika dihubungi Sukan NSTP, hari ini.

Kekalahan tiga kali berturut-turut dalam aksi Liga Super dan dibolosi 10 gol dalam tiga perlawanan terbabit menyaksikan Maniam direhatkan dengan Nazliazmi mengambil alih tugas bagi aksi pusingan ketiga Piala FA bertemu Terengganu bulan lalu.

Nazliazmi tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan kepercayaan FAS dan penyokong apabila membimbing pasukan meraih kemenangan 3-1 ke atas Terengganu dan mara ke peringkat suku akhir.

Rauf berkata, Rusdi, bekas penyerang yang membantu Selangor merangkul kejuaraan Piala FA dan Piala Malaysia serta berpengalaman sebagai jurulatih skuad bawah 23 tahun negara hanya akan menandatangani kontrak selepas 7 April ini.

Ini berikutan Rusdi masih mempunyai kontrak sebagai penolong jurulatih Kuantan FA.

“Rusdi ada masalah pembayaran gaji dengan Kuantan FA, tapi selepas 7 April ini, akan genap tiga bulan beliau tidak menerima gaji maka mengikut peraturan, beliau bebas untuk menandatangani kontrak dengan pasukan lain,” jelas Rauf.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 April 2018 @ 6:27 PM