RONALD KOEMAN
RONALD KOEMAN
AFP

LONDON: Ronald Koeman berkata beliau sudah melupakan kekecewaan dipecat Everton dan mengharapkan ‘pertemuan hebat’ menentang England, Jumaat ini yang menjadi perlawanan sulungnya selaku pengurus Belanda.

Pemenang Kejuaraan Eropah dan Euro 1988 berusia 58 tahun itu yang dipecat Everton pada Oktober selepas skuadnya yang bernilai AS$196 juta dolar (RM768.26 juta) gagal beraksi seperti yang diharapkan - sebelum menerima tawaran untuk menguruskan Belanda.

Koeman menggantikan pengurus veteran, Dick Advocaat yang gagal untuk membawa skuad Oranje ke era kegemilangan selepas peletakan jawatan Louis van Gaal yang sebelum itu menamatkan Piala Dunia 2014 di tangga ketiga.

Tugas yang dipikul oleh Koeman bersama skuad kebangsaan Belanda - yang juga finalis Piala Dunia 2010 - dianggap cukup besar selepas mereka gagal untuk berada di pusingan akhir Euro 2016 dan Piala Dunia di Russia, tahun ini.

“Kami berada di sini,” kata Koeman kepada media England menjelang perlawanan persahabatan antarabangsa itu. “Ia adalah cabaran yang baharu. Sesuatu yang saya tidak boleh kata tidak. 

“Satu kebanggaan untuk menjadi jurulatih Belanda. Saya tidak sabar dengan cabaran dan kerja untuk menjadikan negara ini terus bergerak ke depan.

“Saya mahu membawa kali ke kejohanan besar berikutnya pada 2020. Ia sasaran saya. Ia adalah cabaran yang besar dan sukar. Semua orang mengetahuinya.

“Kami tidak layak untuk dua kejohanan berturut-turut dan baiklah, ia akan memakan masa.”

Koeman yang gagal memujuk bintang Bayern Munich, Arjen Robben keluar daripada persaraan - bukan nama baharu di England malah ketika masih bermain, kekasarannya terhadap David Platt pada Piala Dunia 1994 yang memberikan Belanda kemenangan 2-0 masih diingati.

“Ia akan menjadi perlawanan yang hebat,” katanya. “Selepas Everton, semua orang tahu yang ia akan menjadi amat sukar, saya memerlukan masa untuk kembali fokus. Saya perlu pulih. 

“Saya mendapat masa yang baik untuk bertenang. Saya kembali bekerja kerana saya ingin kembali bekerja. Malah selepas keputusan itu (pemecatan), saya masih gilakan bola sepak.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Mac 2018 @ 9:22 PM