MALAYSIAN Tigers  dinobatkan pasukan lelaki kebangsaan terbaik pada Anugerah Sukan Negara 2017.
MALAYSIAN Tigers dinobatkan pasukan lelaki kebangsaan terbaik pada Anugerah Sukan Negara 2017.
Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih skuad hoki negara, Stephen Van Huizen mengakui beliau perlu melakukan penilaian semula ke atas barisan pemainnya untuk proses pemilihan ke Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia dari 4 hingga 15 April depan.

Ini kerana, selepas berakhir saingan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak minggu lalu, senarai pemain yang berada dalam kem negara yang menghadapi kecederaan semakin bertambah.

Antara pemain yang menghadapi kecederaan ketika di kejohanan jemputan itu adalah Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi, Mohd Marhan Mohd Jalil serta Tengku Ahmad Tajuddin Abdul Jalil.

Sebelum itu, Stephen tidak dapat menggunakan khidmat kapten, Muhammad Sukri Abdul Mutalib; Muhammad Ramdan Rosli; Mohamad Izad Hakimi Jamaluddin serta Muhammad Amirol Aideed Mohd Arshad kerana masalah sama.

“Segala keputusan untuk menyenaraikan 18 pemain ke Gold Coast perlu berdasarkan kepada laporan perubatan.

“Ketika ini, memang ada senarai panjang pemain yang menghadapi kecederaan. Sebab itu saya perlu mendapatkan nasihat daripada doktor siapakah yang cergas sepenuhnya dan boleh diturunkan untuk beraksi.

“Ada yang dalam proses pemulihan kecederaan tetapi persoalannya adakah mereka sudah bersedia sepenuhnya,” katanya.

Jelas Stephen, beliau hanya dapat memberi gambaran sebenar pemain yang bakal dibawa ke Gold Coast dalam tempoh beberapa hari lagi, iaitu selepas setiap daripada mereka menemui pakar masing-masing.

“Untuk berlaku adil, saya perlu melihat situasi barisan pemain ini dalam tempoh dua hingga tiga hari lagi.

“Sekiranya doktor menasihatkan mereka tidak boleh bermain, maka kami akan mengikuti arahan itu,” katanya.

Malaysian Tigers diundi dalam Kumpulan B, bersama-sama jaguh Asia iaitu India, England, Pakistan dan Wales di Gold Coast.

Kumpulan A pula terdiri daripada juara bertahan dan tuan rumah, Australia, New Zealand, Kanada, Afrika Selatan serta Scotland.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Mac 2018 @ 9:18 AM