CAROLINE WOZNIACKI
CAROLINE WOZNIACKI
AFP

INDIAN WELLS, Amerika Syarikat: Usaha juara Terbuka Australia, Caroline Wozniacki untuk mencabar keputusan pengadil pada permainan terakhir ternyata membantunya menewaskan Aliaksandra Sasnovich 6-4, 2-6, 6-3 di Indian Wells hari ini.

Caroline menutup mulut pengkritik apabila menjulang gelaran Grand Slam pertamanya awal tahun ini di Terbuka Australia, menjadikannya pemain wanita Denmark pertama menjulang kejuaraan utama.

Caroline, 27, pemain ranking kedua dunia mara ke pusingan keempat di mana dia akan menentang  Daria Kasatkina dari Russia yang menewaskan juara Terbuka Amerika Syarikat Sloane Stephens

“Saya berusaha untuk lebih banyak bergerak dan mula bermain dengan baik, ia membuahkan hasil hari ini,”  kata Caroline.

Pemain Denmark itu mencabar keputusan pengadil pada permainan terakhir apabila penjaga garisan memutuskan pukulan Aliaksandra mengenai garisan. Caroline meminta supaya mereka melihatnya kembali dan ulangan menunjukkan penjaga garisan itu melakukan kesilapan.

Ia menjadikan kedudukan 30-30 dan Caroline menang dua daripada tiga mata berikutnya yang diperlukan untuk memenangi set ketiga dan perlawanan itu.

Caroline melakukan dua ace dan menang 64 peratus daripada mata servis pertama dalam perlawanan yang berlangsung selama dua jam 17 minit.

Menurut Caroline keadaan gelanggang begitu mencabar tetapi dia cuba menyesuaikan diri.

“Sukar bermain di gelanggang ini. Itulah sebabnya mengapa anda melihat banyak kejutan,” katanya.“Bola melantun tinggi tetapi bergerak terlalu perlahan.”

“Dua keadaan ini menjadikannya sukar untuk bermain namun pada masa sama saya cuba menyesuaikan diri dan cuba melakukan yang terbaik dan bergerak dengan pantas.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Mac 2018 @ 11:04 AM