NOVAK DJOKOVIC
NOVAK DJOKOVIC
Reuters

INDIAN WELLS: Novak Djokovic mempamerkan aksi pelik apabila bekas pemain nombor satu dunia itu tewas kepada pemain kelayakan dari Jepun Taro Daniel pada pusingan kedua Terbuka BNP Paribas di California hari ini.

Kembali daripada pembedahan siku kanannya, Djokovic tidak kelihatan seperti dulu apabila tewas 7-6(3) 4-6 6-1 untuk tersingkir awal daripada kejohanan yang dijuarainya sebanyak lima kali.

Aksi Djokovic pada set terakhir menentang pemain nombor 109 dunia itu ternyata menghairankan penonton.

Juara grand slam empat kali dari Amerika Syarikat Jim Courier mempersoalkan kesungguhan pemain Serbia itu dengan mendakwa Djokovic sudah ‘menyerah kalah’.

“Persoalan di sebalik kekalahannya hari ini akan terus menjadi besar,” kata Courier dalam komennya menerusi Tennis Channel.

“Kami membayangkan apa yang akan berlaku selepas pembedahan, bagaimana reaksi sikunya terhadap tekanan dan kesakitan tetapi hati dan mindanya tidak selari dalam perlawanan ini. Apa yang anda saksikan membuatkan anda menggaru kepala.”

Djokovic yang juga juara grand slam 12 kali, selaku pilihan ke-10 kejohanan, menyedari persembahan buruknya.

“Ia bagaikan kali pertama saya menyertai jelajah ini, amat pelik,” katanya.

“Saya kehilangan rentak, segala-galanya, saya bergelut dengan tahap kesihatan sejak beberapa minggu lalu.

“Saya gembira dapat kembali ke gelanggang dengan segera selepas pembedahan tetapi pada masa sama ia tidak menyeronokkan. Saya mempunyai keberanian tetapi banyak melakukan kesilapan.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Mac 2018 @ 10:30 AM