REAKSI Iga selepas menewaskan Daria.  FOTO AP
REAKSI Iga selepas menewaskan Daria. FOTO AP
Reuters

Forth Worth, Amerika Syarikat: Iga Swiatek menunjukkan mengapa dia bergelar pemain nombor satu dunia dan pemain pilihan untuk menjuarai Pusingan Akhir WTA selepas mudah menewaskan Daria Kasatkina 6-2, 6-3 awal pagi tadi.

Iga menyelamatkan dua mata break dan melakukan pukulan kilas untuk mendahului pemain Rusia itu 3-0 pada set pertama.

Pemain Poland berusia 21 tahun itu kemudiannya mendominasi servis termasuk ketika mata akhir sekali gus memperbaiki rekod pertemuan ke atas Daria 5-0 tahun ini.

"Saya fikir saya bermula dengan baik yang memberikan saya keyakinan tinggi," kata Iga kepada Tennis Channel.

"Tetapi pada masa sama anda perlu waspada dan sabar menentang Dasha. Saya mahu beraksi dengan tenang tapi menekan lawan. Saya berjaya melakukannya dan saya gembira memenanginya."

Kemenangan itu meneruskan musim cemerlang buat Iga yang melonjak ke ranking nombor satu pada April lalu dan meraih lapan gelaran termasuk dua Grand Slam di Roland Garros dan Flushing Meadows tahun ini.

Daria tampil kali pertama di kejohanan itu selepas mara ke separuh akhir Terbuka Perancis dan kembali ke kelompok 10 teratas kali pertama sejak 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 November 2022 @ 9:00 AM