DHABITAH  terpaksa berpuas hati di tempat terakhir apabila hanya mencatat 306.00 mata.
DHABITAH terpaksa berpuas hati di tempat terakhir apabila hanya mencatat 306.00 mata.
Mohd Khairie Khalid

 

PENERJUN negara, Nur Dhabitah Sabri gagal meraih pingat buat Malaysia pada aksi final acara terjun 3 meter (m) papan anjal individu wanita dalam saingan Siri Piala Dunia di Beijing, hari ini.

Dhabitah terpaksa berpuas hati di tempat terakhir apabila hanya mencatat 306.00 mata dalam lima terjunan dilakukan pada aksi final.

Pingat emas dan perak acara ini masing-masing dimenangi penerjun China, Shi Tingmao yang mengutip 392.10 mata sementara Wang Han, 380.40 mata. 

Gangsa menjadi milik Jennifer Abel dari Kanada (354.50). 

Terdahulu Dhabitah mara ke final selepas menamatkan aksi separuh akhir A di sebelah pagi dengan catatan 318.20 mata.

Sementara itu, juara dunia di Budapest Julai tahun lalu, Cheong Jun Hoong dan rakan sepasukan, Pandelela Rinong dijadual beraksi dalam acara terjun 10m platform individu wanita, esok.

Mengulas mengenai aksi seterusnya di Beijing, Jun Hoong berkata dia tidak meletakkan apa-apa sasaran kerana baginya sudah cukup baik jika memberikan saingan.

“Saya tidak letakkan apa-apa sasaran kerana bagi saya sudah cukup baik boleh bersaing, asalkan dapat memberikan yang terbaik. Saya juga bersyukur kerana berjaya mendapatkan pingat di sini,” kata Jun Hoong, ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp, hari ini.

Semalam, Jun Hoong dan Pandelela Rinong memenangi pingat perak acara terjun 10 meter platform seirama selepas mengutip 312.24 mata daripada lima terjunan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Mac 2018 @ 8:47 PM