FAUZAN gesa rakan kerja keras buru mata kemenangan. - FOTO FAIL
FAUZAN gesa rakan kerja keras buru mata kemenangan. - FOTO FAIL
Mohd Amin Jalil


BIARPUN sedar tugas yang bakal dihadapi bukan mudah, namun Negeri Sembilan tidak rela mereka terus berputih mata apabila turun menentang Pahang dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur, malam esok.

Sehubungan itu, penolong kapten, Mohd Fauzan Dzulkifli, menggesa rakan sepasukan supaya menanam tekad dan berjuang habis-habisan bagi memburu mata kemenangan.

“Kami sedar tugas berdepan Pahang bukan mudah kerana pasukan itu berada pada prestasi terbaik selain memiliki kelebihan kerana beraksi di gelanggang sendiri.

“Malah tidak dinafikan rekod mereka setiap kali beraksi di gelanggang itu agak kebal, namun kami datang ke Kuantan dengan misi tidak mahu kalah dan ingin mendapatkan mata.

“Saya tetap optimis, kami mampu melakukan tugasan dengan baik, malah rakan-rakan juga mempunyai kepercayaan betapa kami berkeupayaan untuk mendapatkan keputusan positif ke atas lawan,” katanya.

Tonggak pertahanan berpengalaman berusia 30 tahun itu juga percaya bukan sesuatu yang mustahil bagi mereka mencipta kejutan ke atas skuad Tok Gajah walaupun baru saja tunduk kepada Kedah dalam saingan pusingan kedua Piala FA.

Menurut Mohd Fauzan, jika mengambil kira rekod pertemuan di gelanggang sama sebelum ini, skuad Hobin Jang Hobin tetap berpeluang membuat kejutan.

Namun, bekas kapten PKNS FC itu mengingatkan rakan sepasukan supaya berwaspada dengan strategi pengendali tuan rumah, Dollah Salleh selain jentera serangan mereka yang mampu memberi ancaman kepada kubu Negeri Sembilan.

“Saya yakin dan percaya sentuhan ketua jurulatih baru (Mohd Azraai) bukan saja mampu memberikan suntikan semangat dan meningkatkan moral pemain, malah mampu memberi impak positif kepada persembahan pasukan.

“Saya berharap percaturan beliau akan menjadi dan bagi saya, siapa pun yang menjadi pilihan malam esok, perlu memberikan komitmen 100 peratus kerana hanya dengan kemenangan saja akan dapat membantu pasukan untuk terus bersaing memburu kejayaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Mac 2018 @ 12:27 PM