ZIDANE (kanan) tetap risau berdepan PSG. FOTO/FAIL
ZIDANE (kanan) tetap risau berdepan PSG. FOTO/FAIL
Reuters

MADRID: Ketiadaan Neymar yang dipalit kecederaan belum tentu memberi laluan mudah buat Real Madrid pada aksi kedua pusingan kalah mati Liga Juara-Juara bertemu Paris St Germain (PSG), kata pengendalinya, Zinedine Zidane.

Pemain termahal dunia itu terpaksa diketepikan selama tiga bulan selepas menjalani pembedahan susulan patah tulang metatarsal.

Bekas pemain sayap Real, Angel Di Maria dijangka bakal mengisi tempat pemain Brazil itu ketika PSG cuba untuk bangkit selepas ketinggalan 3-1 pada aksi pertama bertemu juara Eropah 12 kali itu.

“Kehilangan Neymar langsung tidak melegakan kami. Kami bersimpati terhadapnya namun PSG adalah pasukan yang sangat kuat dan penggantinya pasti pemain yang sangat baik,” kata Zidane.

“Kami tidak merasakan perlawanan itu akan menjadi mudah. Kami tahu kami perlu memberikan 2000 peratus di Paris jika mahu mara ke pusingan seterusnya.”

Dua pemain tengah, Luka Modric dan Toni Kroos tidak menyertai latihan kerana masing-masing mengalami kecederaan lutut dan hamstring sekali gus menimbulkan persoalan sama ada mereka cukup cergas untuk diturunkan pada aksi terbabit.

Bagaimanapun, pertahanan kiri, Marcelo melengkapkan latihan penuh untuk dua hari berturut-turut selepas pulih daripada kecederaan hamstring dan bakal diturunkan bertemu Getafe.

“Apa yang lebih penting adalah Marcelo dapat beraksi esok. Kami akan terus menjalankan pemeriksaan terhadap Modric dan Kroos,” kata Zidane. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Mac 2018 @ 11:16 PM