JUANAN (kiri) meraikan gol kemenangan Alcoyano ketika berjaya menyingkirkan Real Madrid dalam saingan Copa del Rey. - FOTO EPA
JUANAN (kiri) meraikan gol kemenangan Alcoyano ketika berjaya menyingkirkan Real Madrid dalam saingan Copa del Rey. - FOTO EPA
AFP

Madrid: Zinedine Zidane mendakwa pemain Real Madrid masih mempercayai kemampuannya walaupun Real Madrid mencatat kekalahan memalukan ketika bertemu pasukan divisyen tiga, Alcoyano dalam saingan Copa del Rey.

Penyandang juara La Liga itu kalah 1-2 kepada Alcoyano, yang menjarigkan gol kemenangan pada masa tambahan selepas beraksi dengan 10 pemain.

Real Madrid sekarang ini hanya menang sekali dalam lima aksi terakhir mereka, dengan kekalahan terbaru ini memberikan lebih tekanan kepada Zidane.

"Saya yakin mereka masih percayakan saya, anda tanya mereka. Kami sudah melakukan yang terbaik musim ini, kecuali pada empat aksi terakhir.

"Sekarang kami masih ada lagi peluang dalam La Liga dan Liga Juara-Juara dan kami harus berusaha. Saya jurulatih, ia adalah kesilapan saya. Saya bertanggungjawab, pemain sudah mencuba namun kami sudah tersingkir," kata Zidane.

Zidane melakukan perubahan dalam kesebelasan utama namun masih lagi membariskan pemain seperti Marcelo, Isco, Casemiro dan Vinicius Junior yang dilihat sudah cukup untuk mengalahkan pasukan di tangga keempat Segunda B.

Bagaimanapun, selepas Zidane membawa masuk pemain seperti Eden Hazard, Karim Benzema dan Toni Kroos untuk memperkuatkan pasukan keadaan menjadi terbalik.

Alcoyano, yang kehilangan seorang pemain berjaya memperoleh gol kemenangan selepas Juanan menyempurnakan peluang di depan pintu gol untuk mencatatkan kemenangan mengejut.

Alcoyano sudah lama tidak beraksi liga utama sejak 1951 dan Stadium El Collao hanya boleh memuatkan 5,000 penonton.

Pasukan bimbingan Zidane mendahului melalui jaringan Eder Militao pada hujung aksi separuh masa pertama sebelum Ramon Lopez menyamakan kedudukan pada minit ke-82.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2021 @ 8:52 AM