DIGNE dilayangkan kad merah selepas dikatakan melakukan kekasaran terhadap pemain Southampton. FOTO AFP
DIGNE dilayangkan kad merah selepas dikatakan melakukan kekasaran terhadap pemain Southampton. FOTO AFP
AFP

London: Jurulatih Everton Carlo Ancelotti menyelar pengadil perlawanan Kevin Friend apabila membuat keputusan "kelakar" dengan mengarahkan Lucas Digne keluar padang sekali gus menyaksikan rekod tanpa kalah pendahulu liga itu berakhir selepas tewas 0-2 kepada Southampton manakala Leicester melonjak ke tangga keempat selepas melakarkan kemenangan 1-0 ke atas Arsenal.

Everton sebelum ini melakarkan lapan kemenangan tanpa kalah musim ini namun mereka terpaksa menerima hukuman hasil daripada persembahan tidak bertenaga yang dipamerkan di St Mary.

Barisan Ancelotti ketinggalan dua gol pada babak pertama menerusi jaringan yang dihasilkan oleh James Ward-Prowse dan Che Adams.

Bek kiri Toffees, Digne diarahkan keluar padang kerana melakukan serangan berbahaya terhadap Kyle Walker-Peters pada separuh masa kedua meskipun mendakwa dia tersandung kaki Kyle Walker-Peters pada minit ke-72.

"Kad merah itu satu jenaka. Ia tidak disengajakan dan sudah pasti ia bukan satu keganasan. Mungkin hanya perlu kad kuning," kata Ancelotti.

"Ia bukan satu keputusan yang tepat dan itu tidak adil. Kami akan merayu, itu sudah pasti."

Tanpa Richarlison yang digantung perlawanan dan kecederaan yang dialami Seamus Coleman serta keputusan seri ketika bertemu Liverpool, Everton dilihat tidak mempunyai semangat dan kualiti yang dipamerkan ketika di awal kempen.

Mereka kekal selaku pendahulu mengatasi seteru utama Liverpool dengan perbezaan jaringan namun Ancelotti mengakui: "Kami tidak bermain dengan baik, Southampton lebih baik daripada kami dan mereka layak untuk menang. Saya memberi tahu pemain musim sejuk akan tiba kami perlu bangkit."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2020 @ 9:58 AM