ZIDANE kesal dengan  kematian seorang anggota polis sebelum perlawanan Liga Europa di Sepanyol membabitkan Athletic Bilbao dan Spartak Moscow.
ZIDANE kesal dengan kematian seorang anggota polis sebelum perlawanan Liga Europa di Sepanyol membabitkan Athletic Bilbao dan Spartak Moscow.
AFP

MADRID: Jurulatih Real Madrid Zinedine Zidane dan rakan sejawatannya di Barcelona Ernesto Valverde hari ini mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman yang membawa kepada kematian seorang anggota polis sebelum perlawanan Liga Europa di Sepanyol membabitkan Athletic Bilbao dan Spartak Moscow.

“Kami mengucapkan takziah kepada keluarganya. Saya tidak sukakan kekejaman dan sukar memahami apabila perkara seperti ini berlaku. Diharapkan supaya kejadian seperti ini tidak berlaku lagi di stadium bola sepak,” kata Zidane berhubung kejadian yang berlaku sebelum perlawanan petang Khamis.

Sembilan orang ditahan, termasuk tiga dari Russia dan seorang dari Poland, ketika pertelagahan di luar San Mames di mana seorang anggota polis maut akibat serangan jantung.

Insiden itu turut mencetuskan kebimbangan terhadap isu samseng bola sepak pada Piala Dunia kali ini di mana Russia menjadi tuan rumah.

“Bola sepak dicipta untuk dinikmati, untuk orang merasai kegembiraan atau menderita bersama pasukan,” kata jurulatih Barcelona Valverde yang pernah mengendalikan Bilbao.

“Namun ada yang menjadikan bola sepak sebagai alasan melakukan perkara lain, kerana bola sepak ditonton ramai orang. Ia mencemarkan bola sepak tetapi ia bukan masalah bola sepak semata-mata malah lebih daripada itu. Sudah pasti kami mengutuknya.”

FIFA berkata pihaknya ‘menyesali sedalam-dalamnya’ pergaduhan di Bilbao namun menaruh ‘kepercayaan sepenuhnya’ kepada Russia bagi memastikan penganjuran Piala Dunia yang selamat biarpun ini adalah insiden terkini kekejaman samseng bola sepak membabitkan penyokong Russia.

Semua perlawanan kedua-dua divisyen utama di Sepanyol akan dimulakan dengan tafakur selama seminit bagi menghormati polis yang terkorban itu.

“La Liga sekali lagi mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman itu dan akan terus berusaha menghapuskannya daripada bola sepak,” kata La Liga dalam satu kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2018 @ 9:03 AM