VITTINGHUS akui pernah di dekati warga Malaysia.
VITTINGHUS akui pernah di dekati warga Malaysia.
Fabian Peter

PEMAIN Denmark, Hans-Kristian Solberg Vittinghus pastinya menjadi seorang daripada kalangan pemain badminton yang mengikuti secara dekat skandal mengatur perlawanan sedang diperkatakan ketika ini.

Ia berikutan pada 2014, pemain Denmark itu membuat laporan kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) apabila cuba didekati warga Malaysia yang mahu dia mengatur keputusan perlawanan.

Menerusi temubual dengan Sukan NSTP, Vittinghus mendedahkan bagaimana ia berlaku dan kenapa dia percaya BWF akan mencari penyelesaian terhadap dakwaan terbaru membabitkan dua pemain profesional negara.

“Saya melaporkan kes itu kepada BWF menerusi laman sesawang rasmi mereka. Perkara ini membawa saya secara terus dengan Thomas Lund (setiausaha agung BWF).

“Kemudian saya memberi laporan rasmi secara bertulis apa yang berlaku bersama salinan semua perbualan dengan pengatur perlawanan, iaitu warga Malaysia (bukan pemain).

“Dia bekerja untuk satu jenama yang saya tidak mahu namakan, namun tugas itu memberikannya peluang untuk menyertai banyak acara,” kata said Vittinghus ketika dihubungi di Denmark.

“Saya berikan kepada BWF untuk menjalankan siasatan. Saya tahu mereka akan beritahu polis tetapi saya tidak tahu apa yang terjadi kepada orang itu. Saya hanya mendedahkan perkara itu enam bulan kemudian, jadi ada banyak masa buat mereka menyelesaikan siasatan.

“Saya merasakan BWF mengambil serius perkara itu tetapi saya tidak mengambil tahu kerana saya mahu fokus kepada badminton dan bukan kes jenayah, begitupun saya menawarkan diri sebagai saksi jika ia boleh membantu siasatan.”

Selasa lalu, Sukan NSTP mengejutkan dunia badminton apabila mendedahkan pemain Malaysia sedang disiasat kerana mengatur perlawanan.

“Saya yakin saya kenal siapa pemain itu. Saya mengikuti kes ini dengan serius. Saya ada minat terhadap keseluruhan sukan, pertaruhan dan mengekalkan integriti.

“Jadi saya juga sudah memberikan beberapa laporan kepada BWF sejak beberapa tahun lalu bagi memberikan maklumat mengenai apa yang berlaku. Banyak yang anda dengar sebagai pemain,” kata Vittinghus.

Pemain kedudukan ke-19 dunia itu juga menyatakan keyakinan terhadap BWF yang berupaya menyelesaikan perkara itu hingga ke akar umbi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2018 @ 6:49 PM