AKSI Julian ketika pusingan kelayakan ke  pusingan akhir acara free skating. FOTO/AFP
AKSI Julian ketika pusingan kelayakan ke pusingan akhir acara free skating. FOTO/AFP
Jumiati Rosly


TUAH tidak menyebelahi peluncur ais negara, Julian Yee untuk melayakkan diri ke pusingan akhir acara free skating apabila menduduki tempat ke-25 dalam pusingan awal - short program pada Sukan Olimpik di PyeongChang hari ini.

Bagaimanapun atlet negara itu berjaya merekodkan pencapaian terbaiknya dalam penyertaan sulungnya di temasya itu.

Atlet pertama negara yang melayakkan diri ke temasya itu mempamerkan persembahan penuh bertenaga diiringi lagu ‘To Build A Home’ yang dimainkan kumpulan The Cinematic Orchestra apabila beraksi pada giliran kesembilan.

Julian, 22, berjaya memperoleh keseluruhan 73.58 mata apabila mengumpul 38.37 mata untuk elemen teknikal dan 35.21 mata untuk aspek persembahan bagi berada di kedudukan ke 25, hanya 1.15 mata di belakang peluncur tempat ke-24 Paul Fentz dari Jerman.

Bagaimanapun hanya 24 daripada 30 peluncur melayakkan diri ke pusingan akhir free skating, esok.

Keputusan hari ini membanggakan buat Julian apabila ia memperbaiki rekod terbaiknya sebelum ini iaitu 72.59 mata.

“Saya sudah melakukan yang terbaik hari ini dan berpuas hati dengan keputusan yang saya peroleh sekali gus melakukan catatan peribadi terbaik yang baharu.

“Itu adalah sasaran saya apabila berada di sini,” katanya.

Pengurus pasukan, Irene Cheow berkata misi mereka sudah selesai biarpun tidak dapat meneruskan saingan.

“Saya berbangga dengan Julian apabila dia dapat merekodkan catatan peribadi baharu,” katanya yang juga emak kepada Julian.

Acara short program hari ini di dominasi peluncur dari Jepun, Yuzuru Hanyu yang mengumpul 111.68 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2018 @ 6:04 PM