Pereyra Diaz (kanan) mengasak gawang Persija Jakarta namun diselamatkan  Andritany Ardhiyasa di Stadium Larkin, malam kelmarin.
Pereyra Diaz (kanan) mengasak gawang Persija Jakarta namun diselamatkan Andritany Ardhiyasa di Stadium Larkin, malam kelmarin.
Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Penyerang berpengalaman Persija Jakarta, Bambang Pamungkas tidak menjangka Johor Darul Ta’zim (JDT) tampil dengan corak permainan pantas hingga sukar untuk dibendung pada aksi di sini, malam kelmarin.

Dalam aksi sulung Piala AFC bagi Kumpulan H itu, skuad Harimau Selatan membenam kelab dari Indonesia itu 3-0 dalam saingan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.

Bagaimanapun, Bambang yang juga bekas penyerang import Selangor menegaskan betapa usaha sudah dilakukan oleh barisan pemain Persija untuk mengimbangi corak permainan pantas skuad kendalian Ulisses Morais itu.

Katanya, beberapa kesilapan mudah menjadi punca kekalahan mereka.

“Kami sudah bekerja keras dalam perlawanan itu, namun kami agak keletihan selepas baru saja beraksi pada separuh akhir Piala Presiden dan tidak mendapat rehat yang cukup.

“Kami juga tidak menurunkan lima tonggak utama terutama tanpa kelibat Marko Simic kerana fokus utama adalah persiapan aksi final Piala Presiden, Sabtu ini dan kami terima kekalahan pertama pada saingan Piala AFC.

“Sebelum perlawanan ini, jurulatih (Stefano Cugurra) menyaksikan perlawanan membabitkan JDT untuk mengkaji corak permainan pasukan itu. Namun apa yang ditampilkan ketika menentang kami jauh berbeza hingga kami terperangkap,” katanya.

Bambang juga menegaskan pemain JDT kerap menguasai permainan dan sukar untuk dia dan rakan sepasukan menyusup masuk di kawasan kotak penalti.

Malah katanya, percubaan untuk melakukan serangan pantas sering tersekat tatkala benteng JDT tampak sukar dilepasi.

Sementara itu, Cugurra optimis pemainnya akan bangkit untuk memburu kemenangan pertama apabila berdepan Tampines Rovers di Stadium Gelora Bung Karno, pada 28 Februari ini.

“Kami tidak boleh tewas lagi dan akan memberi persembahan terbaik apabila melayan kunjungan kelab dari Singapura. Pastinya saya akan turunkan kesebelasan terbaik kerana ia penting bagi mengelak kekalahan kedua berturut-turut,” kata Cugurra.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2018 @ 10:46 AM