NORDE (kiri) menjaringkan gol pembukaan untuk TFC menerusi rembatan padu pada babak pertama. FOTO GHAZALI KORI
NORDE (kiri) menjaringkan gol pembukaan untuk TFC menerusi rembatan padu pada babak pertama. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) mengekalkan rekod tanpa kalah dalam aksi Kumpulan G Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) selepas membenam Bali United, 2-0 sebentar tadi.

Kemenangan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak itu menyaksikan skuad kendalian Tomislav Steinbruckner itu kekal menghuni tangga kedua kumpulan dengan mengutip 12 mata hasil enam perlawanan di belakang pendahulu, Central Coast Mariners dari Australia yang mengumpul 13 mata.

Bagaimanapun, kejayaan menumpaskan kelab Indonesia itu belum mengesahkan tempat ke separuh akhir Zon Asean kerana skuad Penyu perlu menanti keputusan perlawanan terakhir Kumpulan F membabitkan pertemuan kelab Myanmar, Shan United dengan kelab Kemboja, Phnom Penh Crown, esok bagi merebut satu lagi slot ke peringkat itu.

TFC yang juga finalis Piala Malaysia musim ini mendapat dua peluang keemasan menerusi Habib Haroon pada minit ke-20 yang terkena palang.

Tiga minit berselang, percubaan penyerang muda, Muhammad Syahmi Zamri melambung tinggi melepasi palang gol.

Usaha berterusan tuan rumah akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-38 menerusi rembatan padu kapten, Sony Norde yang sebelum itu mendapat umpanan daripada Habib.

Sepanjang babak pertama perlawanan, pintu gol yang dikawal penjaga gol ketiga TFC, Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin langsung tidak diuji dengan percubaan bahaya skuad lawan kendalian Stefano Cugurra.

Bersambung babak kedua pada minit ke-63, Ivan Mamut terlepas peluang terhidang untuk menambah jaringan kedua pasukannya selepas bola rembatannya terkena pertahanan pelawat.

Percubaan Nor Hakim pada minit ke-71 hasil hantaran Mamut gagal disudahkan biarpun penjaga gol pelawat, Muhammad Ridho sudah tertewas.

Akhirnya pada minit ke-88, pemain pertahanan, Sardor Kulmatov meledak gol kedua TFC untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2023 @ 10:05 PM