NORZA mahu pemain komited sahaja yang mewakili negara ke Piala Thomas. FOTO/FAIL
NORZA mahu pemain komited sahaja yang mewakili negara ke Piala Thomas. FOTO/FAIL
Fabian Peter

PRESIDEN Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria menegaskan pemilihan pemain bebas untuk saingan Piala Thomas di Bangkok, Thailand bulan depan bukanlah sesuatu yang mudah.

Ia hadir selepas pemain beregu lelaki, Tan Boon Heong menyatakan dia berminat untuk bermain dalam pasukan lelaki itu.

Norza berkata: “Perlu saya katakan menamakan pemain bebas untuk Piala Thomas bukanlah semudah itu, ada beberapa faktor yang perlu diambil kira.

“Kita perlu faham, ia mewakili pasukan kebangsaan, ia bukan sekadar memakai jersi kebangsaan. Ia tugasan negara. Kita semua berkhidmat untuk negara.

“Pemain bebas tidak boleh hanya datang dan pergi. Bagaimana dengan komitmen mereka?

“Kita tahu pemain BAM, mereka sudah berlatih dengan gigih untuk tempoh yang lama. Kita ada jurulatih yang membimbing mereka. Mereka tahu kombinasi terbaik, siapa yang beraksi baik dengan siapa.

“Adakah pemain bebas berlatih dengan gigih seperti mereka? Kita tidak boleh kata begitu, kerana mereka tidak bersama kami. Lagipun, tiga pemain (Arif Latif, Azriyn Ayub dan Lim Khim Wah) kami baru bawa masuk sebagai percubaan, kami boleh memantau mereka, kerana jurulatih ada di situ.

“Dan kemudian ada kebimbangan mengenai penajaan. Bagaimana komited pemain profesional ini untuk mewakili negara?”

Norza, yang secara rasmi diumumkan sebagai Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada 5 Mei, berkata dia lebih gembira melihat pemain muda selepas penampilan hebat mara dalam semua lima final pada Cabaran Antarabangsa Celcom Axiata Malaysia.

“Lihat saja pemain muda kita, saya rasa mereka mula menunjukkan yang kita tidak boleh bergantung kepada hanya pemain senior. Mereka kini bersaing untuk merebut tempat, dan itulah yang kita mahu lihat. Kesungguhan itu, untuk membuktikan tiada tempat yang tidak boleh diganti,” katanya.

BAM masih belum memuktamadkan senarai berkenaan, tetapi hampir pasti pasangan nombor 1, Goh V Shem-Tan Wee Kiong akan tersenarai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 April 2018 @ 9:53 PM