JURULATIH Selangor, P Maniam mengingatkan anak buahnya supaya berhati-hati dengan ancaman TFC I yang masih tercari-cari kemenangan pertama. Foto MOHD ASRI SAIFUDDIN MAMAT
JURULATIH Selangor, P Maniam mengingatkan anak buahnya supaya berhati-hati dengan ancaman TFC I yang masih tercari-cari kemenangan pertama. Foto MOHD ASRI SAIFUDDIN MAMAT
Aziman Rosdi

 

JURULATIH Selangor, P Maniam mengingatkan anak buahnya supaya berhati-hati dengan ancaman Terengganu FC (TFC I) meskipun skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu masih tercari-cari kemenangan pertama selepas dua aksi Liga Super.

Maniam berkata, ia bukan mudah untuk mereka meraih kemenangan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu esok biarpun skuad Red Giants ketika ini berada di prestasi terbaik dengan menghuni takhta liga hasil dua kemenangan berturut-turut.

“Terengganu seri dalam dua perlawanan sebelum ini dan jurulatih Irfan sudah bersama pasukan sejak tahun lalu. Saya menyaksikan perlawanan mereka menentang PKNS FC dan Kelantan, mereka beraksi baik, banyak mencipta peluang serta menguasai permainan.

“Jadi bukan senang untuk kita bermain di Kuala Terengganu, saya mahu semua pemain kekal fokus dan tak boleh terlalu selesa dengan enam mata yang dikumpul setakat ini. Saya mahu pemain menganggap perlawanan esok seperti final,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Selangor memintas Johor Darul Ta’zim (JDT) di tangga teratas liga menerusi perbezaan jaringan selepas mereka merekod kemenangan 2-0 ke atas Kuala Lumpur dan 4-1 dengan Melaka United.

Meskipun dihimpit masalah kecederaan pemain, Maniam percaya dia memiliki pemain pengganti yang sentiasa bersedia untuk turun menggalas tanggungjawab bersama pasukan.

“Alex (Azamuddin Akil) tak boleh bermain akibat kecederaan tetapi Syahmi (Safari) bermain baik sebelum ini. Manakala Ilham (Udin Armyn) masih lagi 50-50 tetapi saya ada Amri (Yahyah), dan pertahanan Fairuz juga masih 50-50. Saya ada pemain muda yang boleh bermain dan Joseph Kallang Tie juga sudah bersama pasukan,” katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Februari 2018 @ 3:45 PM