CHONG Wei sudah berlepas ke Dubai bersama June Wei tanpa jurulatih. -Foto fail
CHONG Wei sudah berlepas ke Dubai bersama June Wei tanpa jurulatih. -Foto fail
Helmi Talkah


JAGUH perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei mungkin memulakan cabaran pada saingan Siri Super Akhir di Dubai, Emiriah Arab Bersatu yang bermula Rabu ini tanpa ditemani jurulatih.

Ini kerana jurulatih perseorangan lelaki, Hendrawan yang sepatutnya mengiringi Chong Wei ke kejohanan itu sehingga semalam masih belum menerima visa.

Chong Wei bagaimanapun sudah berlepas ke Dubai pagi tadi bersama seorang lagi pemain perseorangan lelaki, Cheam June Wei sebagai rakan latihannya.

Setiausaha Kehormat Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Ng Chin Chai, berkata ada sedikit masalah yang berlaku membabitkan visa Hendrawan dan badan induk itu akan menunggu sehingga Selasa ini sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Sehingga semalam Hendrawan belum lagi mendapat visanya dan kami sedang menyelesaikan perkara itu. Perlawanan pertama Chong Wei hanya akan bermula pada Khamis, jadi masih ada masa.

“Sama ada kami akan menghantar jurulatih lain atau sebaliknya, kami belum buat keputusan lagi. Kita tunggu dulu sehari dua ini,” kata Chin Chai ketika dihubungi, hari ini.

HENDRAWAN belum lagi terima visa untuk iringi Chong Wei ke Dubai. -Foto fail
HENDRAWAN belum lagi terima visa untuk iringi Chong Wei ke Dubai. -Foto fail

Ketika menjuarai Terbuka Hong Kong, dua minggu lalu, pemain berusia 35 tahun berkenan ditemani oleh jurulatih kebangsaan, Tey Seu Bock.

Dan kemungkinan besar Seu Bock akan diberi tanggungjawab sekali lagi untuk menemani Chong Wei di Dubai selain jurulatih perseorangan lelaki, Sairul Amar Ayob atau Datuk Misbun Sidek andai masalah visa Hendrawan tidak dapat diselesaikan.

Chong Wei, pemain nombor dua dunia, antara lapan pemain yang layak beraksi di Dubai.

Pemain-pemain lain ialah perseorangan Korea Selatan, Son Wan Ho, Viktor Axelsen (Denmark), Shi Yuqi dan Chen Long (China), Chou Tien Chen (Taiwan) serta Ng Ka Long (Hong Kong).

Cabaran Malaysia pada kejohanan berprestij itu turut digalas beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang juga berlepas pagi tadi bersama ketua jurulatih beregu campuran, Chin Eei Hui.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2017 @ 6:21 PM