GUARDIOLA akan ke Johor jika City juara EPL.
GUARDIOLA akan ke Johor jika City juara EPL.
Zulfaizan Mansor


PENGURUSAN Manchester City, Pep Guardiola didakwa berjanji akan datang ke Johor jika pasukannya muncul juara Liga Perdana Inggeris (EPL).

Perkara itu dinyatakan dalam satu kenyataan ringkas di laman Facebook rasmi Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), JOHOR Southern Tigers (JST), hari ini.

Kenyataan itu turut menjelaskan yang kehadiran bekas pengendali kelab gergasi Sepanyol, Barcelona itu untuk berkongsi idea bola sepak bersama JDT.

“Pada 19 Oktober 2016, Tunku Mahkota Johor (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) berjumpa dengan Pep Guardiola sewaktu perlawanan Manchester City menentang Barcelona di Sepanyol.

“Pep Guardiola menghulurkan tangan berjanji akan datang ke negeri Johor untuk berkongsi idea dan melawat Projek Bolasepak Johor Darul Ta’zim jikalau Manchester City memenangi liga.

“Untuk makluman anda, Manchester City sekarang sedang menduduki tangga teratas ‘Premier League’ ketika ini,” kata kenyataan di Facebook JST.

Impian itu berkemungkinan besar menjadi kenyataan susulan Manchester City kini sedang selesa mendahului 15 mata di kedudukan teratas EPL selepas 20 perlawanan musim ini.

Malah, jika benar-benar terjadi, ia sudah pasti bakal memberi impak terbaik bagi juara Liga Super empat kali berturut-turut itu untuk mendapat idea daripada seorang jurulatih dikagumi di Eropah.

Malah, sebelum ini JDT dilaporkan sudah menjalin kerjasama dengan beberapa kelab Eropah termasuk Borussia Dortmund dan Valencia.

JDT kini sedang giat melakukan persiapan pra musim dan akan membuka tirai saingan Liga Malaysia (Liga M) 2018 berdepan Kedah dalam aksi perebutan Piala Sumbangsih, 3 Februari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Disember 2017 @ 6:10 PM