BREWSTER kecewa dengan sikap UEFA yang seakan tidak peduli isu perkauman.
BREWSTER kecewa dengan sikap UEFA yang seakan tidak peduli isu perkauman.
AFP

LONDON: Penjaring terbanyak England ketika memenangi Piala Dunia bawah 17 tahun (B-17) pada tahun ini, Rhian Brewster mendakwa Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) `tidak mempedulikan’ tentang isu perkauman.

Pemain berumur 17 tahun itu yang masih belum disenarai dalam kesebelasan utama Liverpool berkata dia menyaksikan sendiri pencabulan isu perkauman – sama ada ditujukan kepadanya atau rakan pasukan – sebanyak tujuh kali pada tahun ini.

“Saya tidak rasa UEFA mengambil serius perkara ini. Mereka tidak peduli. Beginilah rasanya, seperti disorokkan di bawah permaidani,” katanya kepada The Guardian.

Brewster berkata UEFA masih belum mengadakan sesi inkuiri terhadap insiden membabitkan kelab Russia, Spartak Moscow tiga minggu lalu di mana dia mendakwa dirinya menjadi sasaran kata-kata perkauman oleh kapten pasukan lawan itu, Leonid Mironov.

Mironov bagaimanapun menafikan dia membangkitkan isu perkauman ketika perlawanan Liga Remaja UEFA itu.

Brewster berkata dia juga menjadi sasaran perkauman ketika Kejohanan Eropah Bawah B-17 ketika bertemu Ukraine dan apabila bermain menentang kelab Sepanyol, Sevilla dalam perlawanan Bawah 19 Tahun, mengakui perkara itu memberi kesan terhadapnya.

“Pada hari ia berlaku, malam itu saya tidak dapat berfikir dengan betul. Saya hanya mahu ditinggalkan bersendirian,” katanya.

“Saya hanya mahu menjadi diri sendiri dan dibiarkan untuk berfikir. Keesokan harinya saya masih memikirkan tentangnya.”

Mengikut peraturan UEFA, mana-mana pemain yang didapati bersalah membangkitkan isu perkauman boleh digantung minimum 10 perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Disember 2017 @ 3:12 PM