GUARDIOLA (kiri) harap pengadil dapat bertindak lebih tegas. -Foto Reuters
GUARDIOLA (kiri) harap pengadil dapat bertindak lebih tegas. -Foto Reuters
AFP

MANCHESTER: Pengendali Manchester City, Pep Guardiola mencadangkan pengadil bertindak lebih tegas bagi melindungi pemain daripada kecederaan serius, meskipun ia perlu melayangkan kad merah atau kuning untuk pemain pasukannya sendiri.

Guardiola berang dengan kekasaran dilakukan terhadap Kevin de Bruyne dan Raheem Sterling ketika kemenangan 4-1 pasukannya ke atas Tottenham Hotspur pada aksi Liga Perdana Inggeris, minggu lalu.

“Perkara utama di sini, buat pengadil adalah melindungi pemain dan mematuhi peraturan,” kata Guardiola.

“Itu adalah perkara paling penting. Kami sentiasa agresif dan kadang kala kami mengalami kecederaan. Semua pasukan mahukan kemenangan dan mahu berjuang dengan cara terbaik. Kadang-kadang ia berlaku.

“Tidak diragui lagi Dele Ali dan Harry Kane adalah pemain terbaik pasukan. Saya tidak mengesyaki mereka, malah berfikir mereka adalah pemain berbahaya. Tetapi kamu harus melindungi mereka, sama seperti Nicolas Otamendi dan Harry Kane

“Perkara sama seperti terjadi kepada Mane dan Ederson. Mane tidak membenci penjaga gol, dia tidak mahu melakukannya. Saya yakin dengannya. Pengadil harus melindungi pemain kami dan pemain lain.”

Guardiola percaya pemain tidak akan secara sengaja menyerang antara satu sama lain, walaupun pemain tengah Manchester United, Paul Pogba pada awal bulan ini berkata yang dia berharap beberapa pemain City cedera untuk memudahkan laluan gelaran juara Liga Perdana Inggeris.

Pengurus City itu juga masih bingung kerana risiko daripada kecederaan buruk tidak dibincangkan secara mendalam, dan pihak berkuasa bola sepak lebih memberikan tekanan mengenai terjahan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Disember 2017 @ 4:34 PM