Helmi Talkah


KESUNGGUHAN ditunjukkan Loh Wei Sheng (gambar) untuk belajar berjaya memikat ketua jurulatih perseorangan wanita, Datuk Tey Seu Bock yang mencadangkan namanya dilantik sebagai jurulatih perseorangan wanita yang baharu.

Seu Bock berkata, walaupun Wei Sheng, 25, tidak mempunyai pengalaman sebagai jurulatih namun kesungguhan yang ditunjukkan bekas naib juara remaja Asia 2010 itu untuk belajar adalah sesuatu yang cukup positif.

Katanya, Wei Sheng akan membantu beliau dan seorang lagi jurulatih, Rony Agustinus selain menjadi rakan sepelatih kepada pemain wanita.

“Selepas dia (Wei Sheng) tamat pengajiannya, dia sering hadir ke BAM (Persatuan Badminton Malaysia) untuk menjadi rakan sepelatih kepada pemain negara. Dalam masa sama, dia berminat untuk belajar bagi menjadi jurulatih.

“Sukar untuk kita mencari orang seperti Wei Sheng. Dia langsung tidak mengharapkan sebarang balasan di atas kerja yang dilakukannya. BAM pernah menawarkannya bayaran kerana menjadi rakan sepelatih, tetapi dia tidak mahu, sebaliknya memberitahu peluang yang diberikan untuk dia belajar sudah cukup.

“Sebab itu, saya tertarik menjadikan dia sebagai jurulatih. Usianya yang masih muda menjadi kelebihan kerana dia boleh menjadi rakan sepelatih kepada pemain wanita,” kata Seu Bock.

Setiausaha BAM, Datuk Ng Chin Chai, semalam mengesahkan badan induk itu melantik Wei Sheng bagi membantu Seu Bock dan Rony dengan dia akan memulakan tugas, bulan depan.

Wei Sheng meninggalkan BAM sebagai pemain perseorangan lelaki pada 2014 bagi melanjutkan pengajian. Sebelum itu, dia menghabiskan empat tahun bersama skuad pelapis kebangsaan.

Menurut Seu Bock, beliau akan menggunakan peluang ini untuk membentuk Wei Sheng menjadi jurulatih terbaik demi masa depannya.

“Saya mahu bentuk dia, semua pengalaman yang ada, saya akan kongsi dengannya. Dia masih muda dan perjalanannya masih jauh, tetapi kesungguhan yang ada dalam dirinya itu membuatkan saya percaya dia boleh berjaya dalam bidang kejurulatihan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Disember 2017 @ 4:32 PM