AFP

MANCHESTER: Jose Mourinho hanya akan membenarkan pemain yang tidak gembira meninggalkan Manchester United pada jendela perpindahan bulan depan, yang mana mencetuskan spekulasi tentang masa depan pemain seperti Henrikh Mkhitaryan (gambar).

Mourinho mengguna pakai polisi yang sama dilakukan pada jendela perpindahan musim sejuk lalu di mana dia bersetuju dengan permohonan Morgan Schneiderlin dan Memphis Depay untuk meninggalkan kelab itu bagi menyertai pasukan lain yang mahu menyenaraikan mereka dalam kesebelasan utama secara tetap.

Kini, Mkhitaryan dan rakan pasukan termasuklah bekas pertahanan England, Luke Shaw dan Matteo Darmian, yang sudah lama terpinggir daripada kesebelasan utama pada musim ini, akan dibenarkan meninggalkan kelab itu seperti mana yang mereka mahukan dan memberi tawaran yang diingini.

“Saya rasa untuk harga yang tepat,” kata Mourinho, apabila ditanya jika dia mahu berbincang jika ada sebarang tawaran mengenainya.

“Ini adalah pendekatan saya sebagai pengurus, jika itu yang dinasihatkan kelab. Saya rasa setiap pemain ada harganya sendiri.

“Jika pemain tidak gembira, jika pemain membawa permohonan dengan angka tertentu yang kami rasa adalah bagus bagi kami - seperti mana berlaku pada kami musim lepas dengan Memphis dan Morgan - saya tidak akan kata tidak.”

Kes Mkhitaryan timbul selepas pemain tengah dari Armenia itu mempamerkan persembahan yang hebat pada separuh kedua musim lepas dan tampil sebagai antara pemain utama pasukan Mourinho.

Namun prestasinya semakin menurun pada musim ini dan tidak diturunkan dalam kesebelasan utama pasukan Mourinho sejak kekalahan kepada Chelsea pada awal November, menyebabkan pemain itu semakin sukar mendapat tempat biarpun di bangku simpanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Disember 2017 @ 1:49 PM