AMIERUL (kanan) diletakkan bersama pasukan TFC II untuk musim depan. -Foto fail
AMIERUL (kanan) diletakkan bersama pasukan TFC II untuk musim depan. -Foto fail
Malik Muhamad


KETUA jurulatih Terengganu FC I (TFC I), Irfan Bakti Abu Salim menafikan beliau tidak berminat untuk mengekalkan penjaga gol muda, Amierul Hakimi Awang dalam skuad itu musim depan.

Sebaliknya jurulatih berpengalaman itu menyatakan keinginan untuk melihat penjaga gol skuad bawah 23 tahun negara (B-23) itu beraksi lebih kerap dalam kesebelasan utama pasukan antara sebab beliau menyenaraikan pemain itu beraksi dalam skuad Terengganu FC II (TFC II) musim depan.

“Tiada niat tersembunyi berkaitan perkara itu, sebaliknya keinginan untuk melihat penjaga gol itu lebih mantap mengawal pintu gol dan lebih kerap beraksi adalah sebab utama Amierul disenaraikan dalam skuad TFC II.

“Hal ini kerana jika pemain itu berada dalam pasukan TFC I, sudah pasti saingan lebih sengit untuk disenaraikan sebagai penjaga gol utama, oleh sebab itu selepas perbincangan dibuat serta untuk memberikan pengalaman yang lebih kepada Amierul membuatkan kita senarai pemain itu dalam skuad TFC II,” kata Irfan Bakti.

Musim ini pemain kelahiran Kuala Terengganu itu terpaksa bersaing dengan dua penjaga gol berpengalaman dan juga bekas pemain kebangsaan yang sudah mencipta nama iaitu Mohd Sharbinee Allawee Ramli dan Mohd Suffian Ab Rahman selain Mohd Syazwan Yusoff.

Berikutan persaingan sihat itu menyebabkan Amierul lebih kerap memanaskan bangku simpanan apatah lagi pemain itu terpaksa berehat lebih dua bulan selepas mengalami kecederaan ketika bertemu pasukan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC).

Mengulas lanjut, Irfan Bakti berharap Amierul yang berpotensi besar untuk menjadi penjaga gol hebat perlu bekerja lebih keras lagi dalam skuad baharunya kerana pemain lain juga sudah pasti mempunyai misi yang sama.

“Persaingan yang sihat untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama harus ada pada setiap pemain kerana ia bukan saja mampu meningkatkan prestasi seseorang pemain malah juga kepada pasukan yang diwakili,” kata Irfan Bakti yang mengakui keputusan untuk mengekalkan penjaga berpengalaman Mohd Suffian adalah keputusan yang tepat berdasarkan prestasi cemerlangnya musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2017 @ 12:20 PM