SHUKUR (tengah) teruja dapat kekal bersama Terengganu FC. -Foto fail
SHUKUR (tengah) teruja dapat kekal bersama Terengganu FC. -Foto fail
Malik Muhamad


BEKAS arkitek Terengganu, Abdul Shukur Jusoh rasa amat terharu selepas ketua jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim membuat pusingan U dengan mengambilnya kembali menyarung jersi Terengganu FC I (TFC I) musim depan.

Malah menurut bekas pemain kebangsaan itu, tawaran berkenaan bagaikan memberi nafas baharu buatnya selepas sedikit tenggelam dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

“Tiga minggu lalu jurulatih, Irfan Bakti ada menelefon dan menyatakan untuk mengambil semula saya beraksi dalam skuad kendaliannya musim depan.

“Tawaran itu bagaikan pucuk dicita ulam mendatang kerana hasrat saya memang mahu beraksi di bawah kendalian jurulatih berpengalaman itu.

“Justeru tiada ungkapan lebih berharga selain ucapan terima kasih kepada jurulatih dan pihak pengurusan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) kerana menyenaraikan semula saya menyarung jersi Terengganu.

“Hal ini juga menggambarkan khidmat saya masih diperlukan pasukan untuk mengharungi kancah Liga-M musim depan biarpun sebelum ini digugurkan daripada skuad,” kata Abdul Shukur.

Pada akhir Oktober lalu, Abdul Shukur bersama lima lagi pemain termasuk penjaga gol skuad bawah 23 tahun (B-23), Amierul Hakimi Awang tidak disenaraikan dalam skuad Terengganu musim depan berikutan prestasi tidak konsisten.

Selepas digugurkan, pemain berusia 28 tahun yang mula mencipta nama bersama skuad Harimau Muda A itu kemudiannya diserap ke dalam skuad T-Team atau kini dikenali Terengganu FC II (TFC II) bersama lima pemain berkenaan.

“Berita gembira ini bagaikan memberi suntikan baharu buat saya dalam misi membantu pasukan meraih sekurang-kurangnya satu trofi dalam Liga-M serta mahu memastikan pasukan layak beraksi dalam saingan Piala AFC 2019.

“Selain itu saya juga bertekad mengembalikan semula keyakinan penyokong terhadap saya. Oleh itu saya perlu bekerja lebih keras lagi dan berdaya saing bagi memastikan disenaraikan dalam kesebelasan utama,” kata pemain kelahiran Kuala Terengganu itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2017 @ 1:37 PM