LIM Khim Wah
LIM Khim Wah
Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Sebagai bekas rakan segandingan Goh V Shem dan pernah merangkul gelaran Terbuka Malaysia 2014, Lim Khim Wah berharap pemain beregu lelaki negara itu terus bergandingan bersama Tan Wee Kiong walaupun sudah ada ura-ura mereka akan dipisahkan.

Menurut Khim Wah, prestasi turun dan naik perkara biasa dalam beregu lelaki dan dia sendiri pernah melalui perkara itu.

“Sebagai pemain memang kita perlu bijak untuk melalui perkara ini dan menerimanya. Sekarang paling penting perancangan untuk menyelesaikan segala masalah yang berlaku di antara mereka jika dibenarkan untuk kembali bergandingan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Jelasnya, sukar buat Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk mengharapkan gandingan lain dan jalan terbaik adalah memberi tumpuan sepenuhnya kepada V Shem dan Wee Kiong.

“Sayang jika pisahkan mereka, ada kalanya untuk bangkit kembali memang mengambil masa mungkin dua atau tiga tahun. Saya juga memang masak dengan perangai V Shem, jika dia merasakan tidak sesuai bergandingan dengan mana-mana pemain jalan singkat ialah menukar pasangan.

“Dia memang mempunyai fikiran seperti itu, walaupun ada kalanya perkara itu juga sangat bagus, tapi bagi saya dalam hal ini tidak sesuai untuk menukar gandingan,” katanya.

Khim Wah, 28, yang akan bergandingan dengan bekas pemain nombor satu dunia, Yoo Yeon Seong buat kali pertama di Terbuka Korea Selatan hari ini mengakui, V Shem sering mempunyai sifat cepat putus asa tetapi tidak meluahkannya sebaliknya menyimpan di dalam hati.

“Dia tidak tahu untuk meluahkannya dan mungkin sudah tidak tahan lagi (bergandingan bersama Wee Kiong) akhirnya membuat keputusan di luar jangkaan. Saya nasihatkan mereka kekal bergandingan kerana mampu kembali pergi lebih jauh,” katanya.

Sementara itu, semua wakil beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Chan Peng Soon-Cheah Yee See berjaya melepasi pusingan pertama Terbuka Korea Selatan.

Kian Meng-Pei Jing yang juga pilihan keenam menumpaskan Nipitphon Phuangphuapet-Jongkolphan Kititharakul dari Thailand 21-13, 21-19, manakala Soon Huat-Shevon mengetepikan wakil Taiwan, Lee Yang-Hsu Ya Ching 17-21, 21-19, 21-17 dan Peng Soon-Yee See menang ke atas Yugo Kobayashi-Misaki Matsutomo (Jepun) 21-18, 21-9.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 September 2017 @ 4:49 AM