ADIB (kanan) mahu perkasa benteng pertahanan Terengganu.
ADIB (kanan) mahu perkasa benteng pertahanan Terengganu.
Malik Muhamad


SELEPAS gagal membantu majikan barunya Terengganu meraih trofi Liga Perdana musim ini, pertahanan kiri skuad itu, Adib Aizuddin Ab Latif bertekad mahu membalas kepercayaan pihak pengurusan dengan aksi yang lebih bertenaga dalam kancah Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Pemain berusia 31 tahun kelahiran Perak tetapi membesar di Selangor itu adalah antara watak penting dalam skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim musim ini untuk kembali ke Liga Super selepas tersungkur ke Liga Perdana musim ini.

“Saya akui agak terkilan kerana gagal menghadiahkan trofi Liga Perdana kepada peminat setia skuad Penyu musim ini walaupun berpeluang untuk melakukannya.

“Justeru selepas dimaklumkan nama saya dikekalkan dalam skuad Penyu untuk tahun kedua musim depan, saya akan gunakan sebaik mungkin dalam misi memburu sekurang-kurangnya satu piala buat pasukan yang diberi nafas baharu dan ditukar nama kepada Terengganu FC I (TFC I).

“Selain itu saya juga berazam untuk membantu pasukan berada dalam kelompok terbaik Liga Super kerana bukan senang untuk beraksi dalam saingan liga utama itu,” kata bekas pemain FELDA United itu.

Bek kental yang pernah beraksi bersama pasukan PKNS, Johor FA dan Selangor itu juga bakal bersaing dengan bekas pemain Kedah, Mohd Fitri Omar yang sah akan menyarung jersi skuad yang menggunakan slogan Peteh Terengganu Peteh itu musim depan.

Mengulas lanjut, pemain yang juga mampu beraksi di jentera tengah mengakui jauh di sudut hatinya mempunyai impian untuk menyarung jersi skuad kebangsaan walaupun sekali selepas mula bermain bola sepak sejak berusia 17 tahun dalam saingan Piala Presiden.

“Sebagai pemain sudah pasti mengidam untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan, justeru sebelum menggantung but harap khidmat saya dipanggil skuad kebangsaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2017 @ 11:52 PM