SYAFIQ (tengah) terima berita sedih itu dengan hati terbuka. -Foto fail
SYAFIQ (tengah) terima berita sedih itu dengan hati terbuka. -Foto fail
Rodly Fadly


SYAFIQ Ahmad sudah menyiapkan kelengkapan untuk berangkat ke Kuala Lumpur bagi melaporkan diri ke kem latihan skuad Bawah 23 Tahun negara apabila menerima berita di luar dugaan yang dia digugurkan daripada pasukan itu.

Menurut Syafiq, keputusan dibuat Datuk Ong Kim Swee itu agak memeranjatkan kerana sebelum ini jurulatih berkenaan bersetuju memberi cuti kepadanya sehingga hari ini (6 Disember) bagi menguruskan perkahwinannya.

Malah, Syafiq yang baru mendirikan rumah tangga dengan Nor Amalina Norain pada 23 November lalu berkata, dia mematuhi semua arahan diberikan Kim Swee dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semasa membuat permohonan cuti itu.

“Selepas majlis perkahwinan di pihak pengantin perempuan pada 26 November lalu, saya ada menghubungi jurulatih untuk memohon cuti kerana mahu menguruskan majlis di pihak saya pula pada 3 Disember lalu.

“Pada awalnya, saya meminta sehingga 10 Disember tapi beliau berkata ia terlalu lama. Beliau memberi saya cuti sehingga 6 Disember dan mahu saya melaporkan diri pada 7 Disember.

“Malah, saya juga telah menulis surat memohon cuti secara rasmi daripada FAM seperti diminta seorang pegawai badan bola sepak itu. Tiba-tiba dapat surat kata saya digugurkan,” ujar Syafiq yang turut menangkis dakwaan dia menghilangkan diri selepas majlis perkahwinannya.

Penyerang muda Kedah itu tidak menafikan dia kecewa kerana tidak dapat bersama skuad negara ke Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23, di China bulan depan selepas turut sama memerah keringat membantu skuad itu layak ke sana.

ONG KIM SWEE
ONG KIM SWEE

“Memang menjadi impian saya untuk beraksi di kejohanan itu kerana sudah terbabit bersama skuad B-23 sejak awal. Saya tidak sangka digugurkan kerana saya tidak melanggar sebarang disiplin atau peraturan.

“Jika mereka meminta saya melaporkan diri lebih awal, sudah pasti saya berbuat begitu kerana saya memang ingin bersama skuad ke China.

“Apapun saya terima pengguguran ini dengan hati terbuka, mungkin bukan rezeki saya serta ada hikmah di sebaliknya,” kata Syafiq.

Sementara itu Kim Swee menjelaskan tindakannya menggugurkan Syafiq adalah demi kebaikan pasukan serta pemain itu sendiri.

“Kami sudah berlatih hampir 10 hari dan jika saya memanggil Syafiq yang sekarang tidak berada pada tahap kecergasan terbaik, kami perlu mengadakan satu sesi latihan khas untuk dia dan saya tidak nampak perkara itu akan berlaku dalam masa singkat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2017 @ 1:25 PM