SKUAD B-23 Kebangsaan pada sesi latihan sebagai persiapan sebelum beraksi di China. FOTO BERNAMA
SKUAD B-23 Kebangsaan pada sesi latihan sebagai persiapan sebelum beraksi di China. FOTO BERNAMA
Mohd Fitrie Muhamad


KETUA jurulatih skuad Bawah 23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee tidak bercadang mengatur sebarang aksi persahabatan menentang pasukan Timur Tengah.

Kim Swee tiada rancangan ke Timur Tengah. FOTO BERNAMA
Kim Swee tiada rancangan ke Timur Tengah. FOTO BERNAMA

Dalam aksi Piala AFC B-23, skuad muda negara diundi dalam Kumpulan C bersama tiga negara Arab – Iraq, Jordan dan Arab Saudi.

Kim Swee berkata aksi persahabatan menentang negara Timur Tengah hanya akan dapat diatur sekiranya pasukan kendaliannya berkunjung ke sana.

“Agak sukar untuk kita dapatkan perlawanan dengan negara Timur Tengah kecuali kita ke sana. Jarak yang agak jauh dan kita juga sebenarnya tidak perlu ke sana.

“Malah mereka juga (negara Arab) tidak berlatih di Kuala Lumpur. Difahamkan juga mereka akan ke Korea Selatan dan Jepun,” katanya ditemui pada sesi pertama latihan, hari ini.

Pada sesi latihan itu hanya 26 pemain melaporkan diri kecuali Tommy Mawat Bada, Amierul Hakimi Awang, Syafiq Ahmad dan Matthew Davies.

Tommy dan Amierul mengalami masalah pengangkutan, manakala Syafiq akan melangsungkan majlis perkahwinan dan Matthew pula bakal kembali ke Australia untuk menjalani pemulihan.

Kesemua mereka dijangka menyertai semula pasukan pada 4 Disember depan.

Kim Swee mengesahkan pasukannya bakal mengharungi dua aksi persahabatan menentang PJ Rangers dan Melaka United namun tarikh dan venue akan ditentukan kemudian.

Kehadiran beberapa muka baharu dari skuad B-19 tahun negara memberi banyak pilihan buat Kim Swee untuk membuat pilihan terbaik.

Di peringkat awal ini, Kim Swee tidak mahu terlalu menekan pemain sebaliknya kecergasan menjadi aspek pertama yang perlu ditingkatkan terutama selepas mereka berehat panjang sejak Oktober lalu.

“Buat masa sekarang, latihan lebih kepada pra-musim dan saya perlu berhati-hati serta tidak boleh mengharapkan pemain mengembalikan kecergasan dalam tempoh singkat.

“Pastinya kehadiran mereka (pemain B-19) memberi saingan positif. Saya akan menilai mereka dalam latihan dan perlawanan. Dari situ, saya akan tentukan kedudukan mereka,” katanya.

Piala AFC B-23 akan berlangsung di China pada 9 hingga 27 Januari 2018.

Malaysia akan berdepan Iraq di Changsu pada 10 Januari diikuti Jordan pada 13 Januari dan aksi terakhir kumpulan berdepan Arab Saudi pada 16 Januari.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 November 2017 @ 8:54 PM