AIMAN (kiri) berjaya atasi Yan Fei untuk melebarkan rekod kepada 3-2.
AIMAN (kiri) berjaya atasi Yan Fei untuk melebarkan rekod kepada 3-2.
Daripada Farah Azharie


KEMENANGAN pada saingan One: Immortal Pursuit membina semula keyakinan Muhammad Aiman Raziz Affindi yang kini akan memberikan fokus semula di sesi latihan.

Aiman yang muncul satu-satunya wakil Malaysia pada kejohanan francais Seni Mempertahankan Diri Campuran (MMA) di Stadium Tertutup Singapura semalam, mempamer prestasi cemerlang apabila melebarkan rekod profesional kepada 3-2 selepas menewaskan pendatang baru, Yan Fei dari China dalam kategori catchweight.

Atlet berusia 22 tahun itu sedang berusaha untuk kembali beraksi dalam kategori bantamweight di Kuala Lumpur pada 9 Mac depan.

“Saya hanya mahu beraksi semula dan cuba menjadi peninju terbaik. Saya masih belum sampai ke tahap itu lagi dan saya mahu bertemu dengan lawan yang lebih baik,” kata Aiman yang berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

AKSI Aiman (kiri) ketika menentang Yan Fei.
AKSI Aiman (kiri) ketika menentang Yan Fei.

“Saya masih beraksi di tahap rendah dan mahu menjadi yang terbaik,” katanya lagi.

Aiman mengakui menyaksikan persembahan Martin Nguyen sejak beberapa tahun lalu mencetus inspirasi buatnya.

“Secara jujur, saya menyaksikan peningkatan permainan Nguyen selepas dia menewaskan Eduard Folayang dan Marat Gafurov untuk memenangi dua gelaran dalam tempoh kurang setahun.

“Saya akan cuba mengikut jejak langkahnya. Dia memberikan inspirasi kepada saya,” katanya.

Nguyen mencipta sejarah muncul atlet pertama memenangi dua divisyen dunia pada One Championship.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 November 2017 @ 5:37 PM