PEMAIN Manchester United, Paul Pogba. FOTO Reuters
PEMAIN Manchester United, Paul Pogba. FOTO Reuters

LONDON: Manchester United tidak mempunyai perancangan menjual Paul Pogba pada Januari ini, walaupun pemain yang memecahkan rekod perpindahan kelab dengan nilai 89 juta pound (RM468 juta) itu tidak sehaluan dengan pengendali, Jose Mourinho.

Pogba digugurkan dalam dua perlawanan terakhir dan memanaskan bangku simpanan ketika kemenangan 4-1 ke atas Fulham dengan Mourinho memilih Fred dan Scott McTominay sebagai pemain tengah.

Pengendali United itu berkata, Pogba akan tersenarai untuk Liga Juara-Juara Kumpulan H menentang Valencia di Sepanyol, sebagai antara rombakan membabitkan kesebelasan utama.

Bagaimanapun, dia hanya kembali tersenarai dalam pasukan yang lemah dengan United sudah mara ke pusingan kalah mati - sekaligus menggambarkan Pogba sudah tidak menjadi pilihan sejak menjuarai Piala Dunia bersama Perancis.

Dia juga dilihat tidak akan tersenarai dalam aksi menentang pendahulu Liga Perdana Inggeris, Liverpool pada Ahad ini.

Selepas dilucutkan sebagai penolong kapten September lalu, Mourinho menjelaskan sudah bosan dengan Pogba yang tidak mampu menyerap sistemnya dan mengikut arahan.

Difahamkan, Pogba menjadi sasaran utama Mourinho apabila mendakwa sejumlah pemain bertanggungjawab terhadap "virus" yang menular di kelab itu sebelum mereka terikat di Southampton awal bulan ini.

Walaupun Pogba dilihat tidak lagi berahsia untuk meninggalkan United, pegawai atasan kelab masih melihat masa depan yang cerah untuknya dan menolak sebarang tawaran untuk mendapatkan khidmatnya, bulan depan.

Penjaga gol, Sergio Romero dan Andreas Pereira antara dua pemain yang tersenarai untuk aksi Stadium Mestalla, manakala Chris Smalling tersisih susulan kecederaan kaki kiri.

Jika United menewaskan Valencia sekalipun, mereka berkemungkinan tidak berupaya muncul juara kumpulan kerana pendahulu, Juventus dijangka menang menentang Young Boys. – Agensi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Disember 2018 @ 1:50 PM