AFP

LONDON: Pendahulu Liga Perdana Inggeris, Manchester City mengumumkan berjaya meraih pendapatan sebanyak £473.4 juta (RM2.62 bilion) untuk tempoh kewangan tahun lalu.

Jumlah pendapatan musim 2016/17 menyaksikan peningkatan 21 peratus berbanding tahun sebelumnya dan ia adalah tahun ketiga berturut-turut kelab itu menunjukkan pertumbuhan pendapatan.

Rekod baik juga turut dipamerkan menerusi aksi dalam padang ketika skuad kendalian Pep Guardiola kini mendahului carta Liga Perdana Inggeris dengan kelebihan lapan mata dan layak ke kelompok 16 terbaik Liga Juara-Juara.

“Laporan ini lebih kepada menjadikan peminat dan rakan kongsi kami dapat melihat secara terperinci dalam setiap aspek kelab,” kata pengerusi kelab, Khaldoon Al Mubarak (gambar) menerusi satu kenyataan media.

“Apa yang diharapkan selepas ini adalah organisasi bola sepak dan perniagaan luar padang mempunyai keseimbangan yang tepat untuk membolehkan kami terus berkembang,” katanya.

City yang dibeli oleh Sheikh Mansour pada 2008 juga kekal bebas daripada sebarang hutang dan sudah pun dua kali menjuarai Liga Perdana Inggeris, dua Piala Liga dan Piala FA.

Sebelum ini, kelab itu tidak pernah mencatatkan keuntungan melebihi £400 juta (RM2.22 bilion) dan kini Al Mubarak berkata pertumbuhan pendapatan kelab itu menghampiri angka £500 juta (RM2.77 bilion).

Pada musim pertama pengendalian, Guardiola, Manchester City gagal memenangi sebarang piala namun Ketua Eksekutifnya, Ferran Soriano berkata objektif kelab berkenaan sejajar dengan misi pengurus itu.

“Kami komited untuk beraksi dengan baik dan memenangi perlawanan. Kedua-dua elemen adalah seiring,” katanya.

Pada masa sama, Al Mubarak berkata sembilan piala yang dimenangi skuad remaja City menunjukkan pembangunan pemain turut menjadi perkara yang diutamakan untuk mengekalkan kestabilan kelab dalam jangka masa panjang malah turut memberi pujian kepada skuad wanita yang muncul juara trebel.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2017 @ 11:22 AM