REEZAL tegaskan tiada kompromi terhadap mana-mana jurulatih dan pegawai jika didapati bersalah. FOTO Danial Saad
REEZAL tegaskan tiada kompromi terhadap mana-mana jurulatih dan pegawai jika didapati bersalah. FOTO Danial Saad
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengarahkan pegawainya dan Majlis Sukan Negara (MSN) mengambil tindakan segera terhadap gangguan seksual yang berlaku khasnya terhadap atlet wanita negara.

Reezal berkata, beliau sangat terganggu selepas membaca pengalaman pahit yang dialami oleh Cindy Ong ketika juara dunia Masters itu berada dalam pasukan negara satu ketika dulu.

Tegas Reezal, perkara seperti itu tidak seharusnya berlaku pada mana-mana atlet negara kerana setiap atlet dan pegawai harus berada dalam suasana selamat di dalam pusat latihan kebangsaan.

"Perkara seperti ini boleh terjadi dan terus terjadi kepada sesiapa sahaja tidak kira atlet, pegawai, jurulatih mahupun staf sokongan; lelaki atau wanita sekiranya tiada tindakan diambil.

"Saya sudah arahkan pegawai saya bersama MSN untuk menghubungi Cindy serta membantu untuk membuat laporan polis terhadap perbuatan jijik yang berlaku.

"Saya juga akan pastikan MSN memberi kerjasama penuh kepada pihak polis dalam siasatan mereka," katanya.

CINDY Ong mengaku pernah mengalami gangguan seksual. FOTO Cindy Ong
CINDY Ong mengaku pernah mengalami gangguan seksual. FOTO Cindy Ong

Tegasnya, tiada kompromi dan tiada perlindungan untuk mana-mana jurulatih dan pegawai jika didapati bersalah.

KBS dan MSN akan memberikan sokongan penuh kepada atlet dan pegawai untuk tampil melaporkan jika ada sebarang insiden antaranya menerusi platform seperti Jawatankuasa Perwakilan Atlet MSN, Jawatankuasa Salah Laku & Gangguan Dalam Sukan MSN, dan juga Suruhanjaya Atlet di bawah Majlis Olimpik Malaysia.

"Jangan kita normalisasikan gangguan seperti ini tanpa sebarang tindakan. Kita semua ada keluarga, anak, isteri, adik-beradik yang mungkin terdedah kepada ancaman seperti ini. Berat untuk kita lalui dengan perasaan tidak dapat melindungi orang yang kita sayang.

"Tidak ada ruang untuk perkara sebegini terus berlaku dan mengganggu usaha pembangunan bakat dan sukan negara," katanya.

Terdahulu Cindy yang juga bekas perenang kebangsaan yang kini beraksi dalam kategori Masters menceritakan kembali pengalaman lalu apabila dia menerima gangguan seksual daripada jurulatih negara.

Malah, jurulatih itu masih lagi aktif melatih kelab namun tegas Cindy, dia bukan ingin mencari publisiti apabila kembali mencerita pengalaman itu tapi mahu memberi kesedaran dan tindakan yang perlu dilakukan untuk membendung perkara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Mei 2021 @ 6:36 PM