MISBUN (kanan) tak halang keputusan Chong Wei.
MISBUN (kanan) tak halang keputusan Chong Wei.
Helmi Talkah


GLASGOW, Scotland: Ketua jurulatih perseorangan negara Datuk Misbun Sidek memberi restu dan tidak mempunyai halangan jika anak didiknya Datuk Lee Chong Wei memutuskan untuk bersara.

Bagi jurulatih berusia 57 tahun itu, keputusan itu adalah hak peribadi Chong Wei dan beliau menyerahkan sepenuhnya kepada bekas pemain nombor satu dunia itu untuk menentukan masa depannya sebagai pemain badminton.

“Sama ada dia mahu bersara atau tidak, itu terpulang kepadanya... itu hal peribadi dia. Bila saya kembali ke BAM (Persatuan Badminton Malaysia) saya cuba untuk membantu dia sejauh mana yang boleh.

“Namun jika dia membuat keputusan untuk bersara saya tidak boleh halang. Sebagai jurulatih saya perlu menghormati sebarang keputusan dibuat Chong Wei, jika bersara adalah keputusannya, saya beri restu,” kata Misbun yang kembali ke BAM Julai lalu.

Persoalan sama ada Chong Wei akan mengumumkan persaraan atau meneruskan kerjayanya timbul susulan kekalahan mengejutnya di tangan pemain Perancis, Brice Leverdez pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Dunia di Arena Emirates, malam tadi.

Kekalahan itu jelas tamparan buat Chong Wei yang dalam misi memburu gelaran juara dunia buat kali pertama selepas sekadar tiga kali naib juara iaitu pada 2011, 2013 dan 2015.

Dengan usianya kini mencecah 35 tahun, segelintir pihak menganggap mungkin sudah tiba masanya Chong Wei menggantung raket.

Bagaimanapun, Chong Wei yang juga pemenang pingat perak Olimpik tiga kali berkata, dia memerlukan ruang dan mahu berehat sebelum membuat keputusan mengenai masa depannya.

“Kalau tanya saya sekarang, saya tak tahu nak jawab apa kerana fikiran saya kosong. Mungkin esok saya umum bersara atau apa... siapa tahu? Apa pun saya mahu berehat dulu,” kata Chong Wei yang mengadakan temubual bersama media Malaysia yang membuat liputan di Glasgow.

Chong Wei turut menegaskan dia bertanggungjawab sepenuhnya atas kegagalan di Glasgow dan tidak mahu mana-mana pihak menyalahkan jurulatih termasuk Misbun.

“Di tengah gelanggang semuanya adalah mengenai saya, jurulatih hanya boleh bantu lima atau 10 peratus. Selebihnya saya sendiri yang perlu lakukan, jadi jangan salahkan sesiapa dan saya bertanggungjawab sepenuhnya dengan kekalahan ini,” tegasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2017 @ 8:01 AM