Pemain tengah Strasbourg, Adrien Thomasson (kanan) merebut bola dengan pertahanan Lyon, Leo Dubois di Stadium Meinau, Strasbourg. FOTO AFP.
Pemain tengah Strasbourg, Adrien Thomasson (kanan) merebut bola dengan pertahanan Lyon, Leo Dubois di Stadium Meinau, Strasbourg. FOTO AFP.
AFP

KAPTEN gantian Lyon, Marcelo meninggalkan padang dengan kecederaan kaki ketika pasukannya bergelut untuk seri 2-2 berdepan Strasbourg awal pagi ini, hanya beberapa hari daripada saingan kedua kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara berdepan Barcelona.

Pasukan bimbingan Bruno Genesio akan menentang gergasi La Liga itu selepas seri 0-0 pada perlawanan pertama di Perancis tetapi pertahanan Brazil itu diragui akan beraksi awal pagi Khamis ini.

“Ia terlalu awal untuk mengetahui sama ada dia akan bermain menentang Barcelona. Dia ada sedikit masalah dengan hamstring. Kami akan lakukan apa saja supaya dia akan terus bermain, tapi kami perlu menanti hingga Ahad (hari ini),” kata Genesio kepada Canal+.

Genesio berkata dia merancang untuk bertemu dengan doktor kelab selepas ujian tambahan dilakukan terhadap pertahanan tengah itu hari ini.

Moussa Dembele menjaringkan dua gol buat Lyon di Stade de la Meinau sebelum Ludovic Ajorque juga meledak dua gol dalam tempoh 60 saat separuh masa kedua.

Kapten pasukan, Nabil Fekir; penyerang Bertrand Traore, Memphis Depay selain pemain tengah, Tanguy Ndombele bermula dari bangku simpanan ketika Genesio cuba merehatkan empat pemain berpengaruh itu ketika kelab Perancis itu cuba melepasi suku akhir saingan elit Eropah itu buat kali pertama sejak 2010.

Pemain Lyon, Nabil Fekir (tengah) dihalang dua pemain Strasbourg. FOTO AFP.
Pemain Lyon, Nabil Fekir (tengah) dihalang dua pemain Strasbourg. FOTO AFP.

Fekir dan Traore dibawa masuk pada suku terakhir permainan untuk mencari kemenangan tetapi tidak berhasil.

Lyon kekal di kedudukan ketiga dalam liga, empat mata di belakang Lille yang akan berkunjung ke Saint Etienne hari ini.

Sementara itu, pasukan berbelanja besar turun di tempat ke 17 selepas terikat 1-1 menentang Bordeaux manakala beraksi dengan 10 pemain Amiens menewaskan Nimes 2-1 untuk melangkah ke tempat ke 16 tatkala Dijon masih berada di kelompok penyingkiran selepas seri 1-1 menentang Reims.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2019 @ 11:00 AM