AZMIN Ali (dua dari kanan) bersama Razlan Razali (dua dari kiri), Menteri Besar Selangor Amiruddin Shari (kiri) dan Pengerusi Shell Malaysia Datuk Lain Lo (kanan) pada Grand Prix Malaysia 2018. -Foto BERNAMA
AZMIN Ali (dua dari kanan) bersama Razlan Razali (dua dari kiri), Menteri Besar Selangor Amiruddin Shari (kiri) dan Pengerusi Shell Malaysia Datuk Lain Lo (kanan) pada Grand Prix Malaysia 2018. -Foto BERNAMA
Fadhli Ishak


KUALA LUMPUR: Grand Prix (GP) Malaysia mencatat sejarah apabila jumlah penonton yang hadir menyaksikan perlumbaan berprestij berkenaan semalam mencecah lebih 100,000 buat pertama kali.

Biarpun perlumbaan terpaksa diawalkan dua jam kerana bimbang dengan faktor cuaca, seramai 103,984 peminat sukan permotoran tetap membanjiri Litar Antarabangsa Sepang (SIC) berbanding 97,457 orang pada tahun lalu.

Malah, jumlah kehadiran penonton ketika sesi latihan bebas Jumaat lalu turut meningkat kepada 24,476 berbanding 22,794 (2017) tetapi jumlah kehadiran penonton pada sesi kelayakan pada Sabtu lalu menurun 41,367 berbanding 46,235 orang (2017) akibat hujan lebat berterusan.

Namun, apa yang lebih membanggakan jumlah kehadiran penonton secara keseluruhan pada tiga hari berkenaan mencecah 169,827 yang menyaksikan peningkatan positif berbanding 166,484 (2017) dan 161,533 (2016).

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali, berkata beliau memang tidak menjangkakan jumlah kehadiran penonton melebihi 100,000.

“Apa yang boleh saya katakan? Kami memang tidak jangka jumlah kehadiran penonton akan mencecah lebih 100,000 buat pertama kali dalam sejarah perlumbaan di Sepang.

“Pada awal tahun kita hanya meletakkan sasaran hanya 85,000, kemudian 90,000, kemudian 95,000, jadi untuk mencapai 103,984 untuk perlumbaan pada Ahad memang sesuatu yang mengagumkan.

“Justeru, kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih kerana sokongan padu diberikan peminat tempatan dan luar negara.

“Seperti yang perkatakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam buku program tahun ini, perlumbaan MotoGP adalah paling bagus untuk Malaysia kerana adanya pelumba Malaysia yang bertanding... sebab itu kita mendapat sokongan yang kuat.

“Perlumbaan ini turut membuka mata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan orang lain yang kini sedar betapa hebatnya perlumbaan MotoGP, dengan sebelum ini mereka hanya tahu mengenai Formula Satu (F1),” kata Razlan.

Tambah Razlan, SIC juga sedang mengkaji kemungkinan untuk membuka satu lagi tempat duduk berbukit bagi menampung peningkatan penonton ke MotoGP setiap tahun.

Untuk rekod, SIC baru sahaja membuka semula kawasan tempat duduk berbukit G, yang mampu menampung kira-kira 10,000 penonton, pertama kali sejak 1999.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 November 2018 @ 4:46 PM