STROOTMAN (tengah) tidak boleh cergas dalam masa terdekat. FOTO/REUTERS
STROOTMAN (tengah) tidak boleh cergas dalam masa terdekat. FOTO/REUTERS
AFP

THE HAGUE: Pemain tengah Kevin Strootman menarik diri daripada skuad Belanda bagi dua perlawanan terakhir kelayakan Piala Dunia 2018 menentang Belarus dan Sweden kerana kecederaan otot paha.

Persatuan Bolasepak Diraja Belanda (KNVB) menyatakan dalam satu kenyataan, pemain AS Roma berusia 27 tahun itu “tidak boleh cergas tepat pada masanya” bagi perlawanan itu.

Ketua jurulatih Dick Advocaat tidak memanggil sesiapa sebagai pengganti ketika beliau cuba membantu Belanda supaya tidak tercicir daripada dua kejohanan utama berturut-turut buat kali pertama dalam tempoh 32 tahun.

Naib juara Piala Dunia tiga kali itu kini menghuni tangga ketiga Kumpulan A kelayakan zon Eropah, empat mata di belakang pendahulu Perancis dan tiga di belakang pasukan tangga kedua Sweden.

Mereka bertandang ke Belarus awal pagi Ahad ini sebelum menanti kunjungan Sweden di Amsterdam awal pagi Rabu depan, perlawanan yang berpotensi untuk merebut tempat ke play-off daripada kumpulan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2017 @ 10:55 AM