GULLIT (kanan) mengaku salah mengepos video pasukan Belanda dalam bilik persalinan. -Foto AFP
GULLIT (kanan) mengaku salah mengepos video pasukan Belanda dalam bilik persalinan. -Foto AFP
Reuters

AMSTERDAM: Ruud Gullit terpaksa memohon maaf semalam apabila mengepos rakaman video pasukan Belanda dalam bilik persalinan selepas menang ke atas Bulgaria pada kelayakan Piala Dunia, Ahad lalu.

Rakaman yang dilihat tidak bermaksud menyakitkan hati itu, yang mana pemain duduk dan melihat telefon bimbit masing-masing dibuat oleh penolong jurulatih Gullit, berikutan kemenangan 3-1 di Amsterdam yang menghidupkan peluang tipis Belanda ke Piala Dunia tahun depan.

Namun rakaman itu yang dipos dalam Twitter, mencetus kemarahan di Belanda termasuk kritikan daripada jurulatih Dick Advocaat.

“Secara jujur, saya fikir amat aneh ada video sebegini,” kata Advocaat, yang berdiri membelakangkan kamera apabila Gullit merakamkan video selama 15 saat itu.

“Saya fikir ia amat pelik, saya akan memberitahunya. Saya akan bercakap dari hati ke hati dengan Gullit, saya fikir ia perlu,” katanya kepada media Belanda.

Ia diikuti kritikan pedas televisyen Belanda yang mana penganalisis berkata Gullit, yang beraksi 66 perlawanan buat negaranya, mencemari keharmonian bilik persalinan. Seorang pengulas mencadangkan ia satu kesalahan yang boleh menjurus kepada pemecatan.

“Saya merakam video itu dengan keghairahan tapi sedar kemudiannya saya tidak patut melakukannya. Sehubungan itu kami sudah membuat satu garis panduan,” kata Gullit dalam kenyataan dikeluarkan Persatuan Bolasepak Belanda KNVB.

Advocaat bersetuju: “Saya tidak fikir ia idea bagus Ruud dan memberitahunya jadi semuanya sudah selesai.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 September 2017 @ 3:06 PM