LUCAS HERNANDEZ
LUCAS HERNANDEZ
AFP

BERLIN: Pengarah Sukan Bayern Munich, Hasan Salihamidzic berkata pertahanan Atletico Madrid, Lucas Hernandez berkemungkinan besar tidak akan menyertai juara Jerman itu pada bulan ini.

Bayern yang ketinggalan enam mata di belakang pendahulu Bundesliga, Borussia Dortmund akan memulakan baki separuh musim menentang Hoffenheim di gelanggang lawan, Jumaat ini menyasarkan Hernandez, 22, sebagai pengganti di jentera pertahanannya yang semakin dimamah usia.

“Kami sudah mengadakan perbincangan, yang akan diteruskan, tetapi prospek dia datang ke sini pada musim sejuk adalah tidak realistik,” kata  Salihamidzic.

Hernandez yang memenangi Piala Dunia bersama Perancis, musim panas lalu bernilai sekitar  AS$68.3 juta (RM280.62 juta).

Dia yang boleh bermain di posisi pertahanan kiri atau tengah kekal menjadi sasaran utama Bayern untuk digandingkan bersama pemain sayap Chelsea, Callum Hudson-Odoi, 18. 

“Kami mahu menandatangani pemain ini dan saya benar-benar yakin dengan kemampuannya, kami sedang dalam perbincangan dengan Chelsea,” kata Salhamidzic mengenai Hudson-Odoi.

Begitupun, tindakan gergasi Jerman itu mencetus berang pengurus Blues, Maurizio Sarri, yang minggu lalu melabel kelab itu sebagai tidak profesional.

Bayern sudah pun menyambar pemain berusia 18 tahun dari Kanada, Alphonso Davies dari kelab Liga Bolasepak Major, Vancouver Whitecaps dengan nilai AS$13 juta (RM53.41 juta) dan dia boleh membuat penampilan sulung di pentas Bundesliga menentang Hoffenheim.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 January 2019 @ 11:48 PM