AUBAMEYANG kembali perkasa Dortmund.
AUBAMEYANG kembali perkasa Dortmund.
AFP

DORTMUND: Borussia Dortmund sudah menamatkan penggantungan ke atas Pierre-Emerick Aubameyang dan penyerang itu kini bersedia untuk diturunkan berdepan Tottenham Hotspur dalam aksi Liga Juara-Juara, awal pagi Rabu ini, waktu Malaysia.

Pengarah Sukan Dortmund, Michael Zorc mengesahkan pemain antarabangsa Gabon itu kembali menyertai latihan pasukan selepas digantung kerana lambat datang berlatih dan melakukan rakaman video di padang latihan tanpa kebenaran.

Berikutan penggantungan itu, Aubameyang terlepas aksi Bundesliga yang menyaksikan Dortmund tewas 2-1 kepada Stuttgart, sekali gus jatuh ke tangga kelima dalam carta semasa saingan domestik.

AUBAMEYANG (tengah) ketika berlatih bersama rakan sepasukan. FOTO/AFP
AUBAMEYANG (tengah) ketika berlatih bersama rakan sepasukan. FOTO/AFP

Musim lalu, Aubameyang muncul penjaring terbanyak saingan Bundesliga, namun kini berdepan kesukaran menjaringkan gol dalam lima perlawanan terakhir sejak 14 Oktober lalu.

Dortmund kini perlu menewaskan skuad Spurs sambil mengharapkan Real Madrid gagal meraih kemenangan ke atas APOEL bagi menghidupkan peluang mereka untuk ke kelompok 16 terbaik.

Spurs sudah pun mengesahkan tempat ke peringkat kalah mati, namun kemenangan ke atas Dortmund bakal memastikan status sebagai juara Kumpulan H.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2017 @ 12:32 AM