IRAIROZ (kanan) terpedaya dengan acahan Suarez. Foto  REUTERS
IRAIROZ (kanan) terpedaya dengan acahan Suarez. Foto REUTERS
AFP

MADRID: Barcelona mengekalkan permulaan sempurna dalam La Liga Sepanyol dengan kemenangan keenam berturut-turut ketika Luis Suarez dan dua gol sendiri membantu kemenangan 3-0 di Girona pada perlawanan yang dicemari dengan ketegangan politik, awal pagi tadi.

Real Madrid kekal tujuh mata di belakang Barca berikutan dua gol Dani Ceballos dalam penampilan sulungnya membantu mereka menang 2-1 di Alaves semalam sekali gus melonjak ke tangga keempat.

PENYOKONG tuntut kemerdekaan Catalunya. - Foto AFP
PENYOKONG tuntut kemerdekaan Catalunya. - Foto AFP

Girona menjadi hos Barca dalam pertembungan jiran Catalunya buat kali pertama dalam liga utama, namun perlawanan berat sebelah itu dicemari oleh laungan dan nyanyian penonton mendesak kemerdekaan Catalunya.

“Perlawanan ini mempunyai masalahnya,” ujar bos barca, Ernesto Valverde.

“Ia satu pertembungan jiran setempat, suasana hebat dan tegang. Ia normal, tapi kami bermain dengan baik.”

Di tengah padang kurang kontroversi apabila Barca jarang diancam selepas Aday Benitez tertampan masuk percubaan Jordi Alba ke dalam golnya sendiri selepas hanya 17 minit.

Satu lagi gol sendiri melebarkan kelebihan mereka tiga minit selepas rehat apabila penjaga gol Gorka Irairoz terpedaya dengan acahan Suarez dan tertolak masuk hantaran silang Aleix Vidal.

Suarez melengkapkan jaringan dengan gol keduanya musim ini apabila merembat kencang melepasi Irairoz daripada umpanan Sergi Roberto.

Di Mendizorroza, Madrid sekali lagi mensia-siakan banyak peluang di depan gol namun masih cukup bagus buat Alaves yang belum meraih sebarang mata selepas enam perlawanan.

“Hari ini kami memerlukan tiga mata. Kami tidak begitu cemerlang tapi pastinya kami akan bermain lebih bagus selepas ini,” kata bos Real, Zinedine Zidane.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 September 2017 @ 10:08 AM