MESSI (tengah) dikekang pemain Sevilla. FOTO/AFP
MESSI (tengah) dikekang pemain Sevilla. FOTO/AFP
AFP

MADRID: Barcelona meneruskan rentak cemerlang mereka di La Liga musim ini dengan menewaskan Sevilla 2-1 hasil jaringan berganda Paco Alcacer awal pagi tadi ketika suasana di Camp Nou terus dihangatkan ketegangan politik di Catalonia.

Sebuah bendera Catalan bersaiz gergasi dan kain rentang bertulis ‘keadilan’ dalam bahasa Catalan dan Inggeris dikibarkan sebelum sepak mula selepas lapan menteri kerajaan Catalan yang dipecat Madrid ditahan untuk perbicaraan berhubung peranan mereka dalam mencetuskan gerakan kemerdekaan Catalan.

Laungan ‘kemerdekaan’ juga bergema di stadium terbesar Eropah itu sepanjang 90 minit perlawanan dan dua lagi kain rentang bertulis ‘kebebasan buat tahanan politik’ dan ‘Eropah memalukan’ dikibarkan di belakang salah satu gol.

Jurulatih Barca Ernesto Valverde berseloroh minggu lalu mengenai bagaimana gangguan di luar padang membantu pasukannya dan sekali lagi berjaya mencatat kemenangan ke-10 dalam 11 perlawanan awal La Liga.

 ALCACER meraikan gol selepas meledak jaringan kedua Barca.  FOTO/REUTERS
ALCACER meraikan gol selepas meledak jaringan kedua Barca. FOTO/REUTERS

“Pasukan ini membuktikan ia bukan satu gangguan,” kata Valverde.

“Peminat datang ke Camp Nou untuk meluahkan perasaan mereka dengan aman dan menyokong pasukan mereka. Kami bermain untuk mereka.”

Pasukan tuan rumah hampir menjaringkan tiga gol dalam tempoh 10 minit apabila Clement Lenglet menolak keluar bola Sergio Busquets, David Soria menafikan percubaan Luis Suarez manakala percubaan jarak jauh Ivan Rakitic tersasar.

Alcacer mencetus kejutan apabila diturunkan sebagai kesebelasan utama Valverde dan membuka jaringan pada buat kali pertama musim ini sebagai skuad utama.

“Anda perlu memanfaatkan peluang diberikan jurulatih,” kata Alcacer.

Pada penampilan ke-600 buat Barca Lionel Messi mempunyai peluang untuk menambah jaringan tetapi berjaya diselamatkan Soria, namun Barca terus bertahan untuk berada 11 mata di depan Real Madrid yang akan menentang Las Palmas malam ini.

PENYOKONG Barca bersama bendera Catalan secara aman menyaksikan bola sepak. FOTO/AFP
PENYOKONG Barca bersama bendera Catalan secara aman menyaksikan bola sepak. FOTO/AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2017 @ 12:53 PM