SLOANE raih kemenangan bernilai RM15.5 juta selepas berehat 11 bulan
SLOANE raih kemenangan bernilai RM15.5 juta selepas berehat 11 bulan
AFP

NEW YORK: Sloane Stephens, berehat selama 11 bulan kerana kecederaan kaki kiri hinggalah kembali Julai lalu, merangkul kejuaraan pertama Grand Slam dengan membenam rakan senegara dari Amerika Syarikat, Madison Keys 6-3, 6-0 pada final Terbuka AS, awal pagi tadi.

Sloane meraih AS$3.7 juta (RM15.5 juta) menerusi kemenangan terbesar kariernya, menentang salah seorang rakan karibnya dalam final pertama menampilkan dua pemain AS sejak 2002 di gelanggang permukaan keras Flushing Meadows.

“Saya sepatutnya bersara sekarang,” kata Sloane. “Saya tidak mungkin mengatasi pencapaian ini. Bercakap mengenai kemunculan semula. Semuanya menyebelahi saya dan ia terbukti dalam enam minggu terakhir.”

Dengan kemenangan ke-15 dalam 17 perlawanan terakhirnya, Sloane muncul pemain bukan pilihan kelima memenangi kejuaraan Grand Slam, sekalipun pemain Latvia, Jelena Ostapenko melakar pencapaian itu pada Terbuka Perancis tahun ini.

Pemain bukan pilihan terakhir memenangi gelaran wanita Terbuka AS sebelum ini adalah Kim Clijsters, yang kembali daripada persaraan untuk memenangi kejuaraan 2009.

“Ia menakjubkan,” kata Sloane. “Saya menjalani pembedahan pada 23 Januari lalu. Jika seseorang memberitahu saya akan memenangi Terbuka AS, saya akan katakan mustahil, pasti mustahil.

“Perjalanan ini amat mengagumkan dan secara jujur saya tidak akan tukarkannya dengan apa-apa sekalipun.”

Ia final pertama kategori wanita Terbuka AS apabila pemain yang kecundang tidak berjaya merampas sebarang servis sejak Chris Evert menundukkan Evonne Goolagong 6-3, 6-0 pada 1976.

Ketika menerima cek pemenang, Sloane berkata: “Banyaknya wang ini. Wau!” kemudian menyerahkan sampul cek itu kepada rakan karibnya Madison.

“Maddie rakan karib saya dalam jelajah,” ujar Sloane. “Saya memberitahunya saya mengharapkan keputusan seri. Saya akan tetap menyokongnya tidak kira apa sekalipun dan dia turut akan menyokong saya.

“Untuk berdiri di sini bersamanya hari ini amat menakjubkan - itulah sebenarnya erti persahabatan.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 September 2017 @ 9:33 AM