BARISAN pemain Sepanyol akan bertemu Sweden pada perlawanan pertama awal pagi Selasa. FOTO AFP
BARISAN pemain Sepanyol akan bertemu Sweden pada perlawanan pertama awal pagi Selasa. FOTO AFP
AFP

Madrid: Sepanyol memperoleh tonik terbaik menjelang aksi pertama Euro 2020 selepas pemain pertahanan, Diego Llorente kembali bersama skuad dan kesemua pemain divaksin untuk mengatasi wabak Covid-19.

Proses vaksinasi berlangsung pada hari pertama Euro 2020 dan tiga hari sebelum Sepanyol beraksi pada perlawanan pertama dengan kemungkinan beberapa pemain akan merasai kesan sampingan menjelang pertemuan dengan Sweden awal pagi Selasa ini.

Llorente sudah dibenarkan untuk menyertai pasukan selepas keputusan ujian keempatnya didapati negatif.

Pasukan juga kembali menjalani latihan hari ini apabila tiada mana-mana individu didapati positif Covid-19 selama tiga hari selepas ujian dilakukan.

Llorente disambut dengan tepukan daripada rakan sepasukan dan jurulatih, Luis Enrique.

Dia didapati positif pada Selasa lalu selepas Sergio Busquets turut didapati positif sebelum itu.

Kedua-dua pemain melalui proses pengasingan diri di rumah manakala persiapan pasukan agak terganggu.

Sepanyol terpaksa menurunkan pasukan bawah 21 tahun ketika aksi pemanas badan terakhir bertemu Lithuania manakala barisan pemain utama terpaksa menjalani latihan secara individu minggu ini.

"Setiap pemain yang beraksi di Euro 2020 menerima atau melengkapkan proses vaksinasi semalam," kata Persekutuan Bolasepak Sepanyol.

Pemain tengah, Thiago Alcantara pada sidang media pula berkata: "Segala-galanya berjalan dengan baik dan kami akan mengharungi perlawanan dalam tempoh tiga hari ini, jadi sama-sama berharap kami tidak menerima kesan sampingan menjelang perlawanan pertama."

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Jun 2021 @ 9:48 AM