PEMAIN Myanmar Yan Naing Oo (tengah) melolosi tiga pemain Brunei  di Stadium Universiti Malaya (UM) Arena hari ini.
PEMAIN Myanmar Yan Naing Oo (tengah) melolosi tiga pemain Brunei di Stadium Universiti Malaya (UM) Arena hari ini.
Aziman Rosdi


SUDAH melangkah ke separuh akhir selepas membelasah Brunei 6-0 hari ini, jurulatih skuad bawah 22 tahun (B-22) Myanmar, Gerd Zeise, memberi amaran anak buahnya tetap mahukan kemenangan ke atas Malaysia dalam aksi terakhir Kumpulan A, Isnin depan.

Selepas tiga perlawanan, naib juara Sukan SEA Singapura 2015 itu kekal di tangga teratas dengan sembilan mata selepas mengalahkan Singapura 2-0 dan Laos 3-1 manakala Malaysia yang baru beraksi dua perlawanan di tangga kedua.

Menurut jurulatih kelahiran Jerman itu, beliau tetap akan menurunkan kesebelasan terbaik bagi berdepan Malaysia di Stadium Shah Alam nanti.

“Saya tidak fikir begitu (merehatkan pemain menentang Malaysia). Pemain saya sudah mendapat rentak permainan, jadi saya tidak mahu rentak itu terganggu.

“Sudah pasti kami mahu menang kerana ia bakal menentukan pasukan di tangga pertama dan kedua kumpulan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan di di Stadium UiTM Shah Alam, hari ini.

Myanmar yang dikenali dengan The White Angels seakan tidak sabar membuat perhitungan dengan Malaysia selepas menjadikan Brunei mangsa belasahan.

Mereka bermula baik dengan mendahului 2-0 pada babak pertama menerusi jaringan Aung Thu pada minit ke-24 dan Si Thu Aung (m-40).

Anak buah Zeise yang kebanyakannya beraksi dalam skuad Piala Dunia B-20 pada 2015, terus mengganas dengan gol sumbangan Aung Kaung Mann pada minit ke-73 dan M-84 serta dua gol pada masa kecederaan oleh Mg Mg Lwin dan Than Paing.

“Ia kemenangan mudah, saya sudah menyaksikan permainan Brunei ketika menentang Malaysia.

“Kami bermula agak perlahan pada separuh masa pertama dan bermain lebih baik pada babak kedua. Kemenangan ini penting untuk kami layak dan mengurangkan tekanan sebelum berdepan Malaysia,” kata Zeise.

Bagi Brunei pula, ini kekalahan kedua selepas tewas 1-2 di tangan Malaysia Isnin lalu.

“Saya tahu Myanmar pasukan kuat, namun kekalahan dengan jumlah jaringan sebesar ini, mengejutkan.

“Saya harap kami boleh bangkit untuk berdepan Laos selepas ini,” kata pengendali Brunei, Kwon Oh-Son.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2017 @ 7:17 PM