SULTAN Sharafuddin Idris Shah, diiringi Khairy  (kiri) meninjau keadaan Stadium Nasional sempena Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 di Bukit Jalil. -Foto MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
SULTAN Sharafuddin Idris Shah, diiringi Khairy (kiri) meninjau keadaan Stadium Nasional sempena Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 di Bukit Jalil. -Foto MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Fardy Bungga


SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencemar duli ke KL Sports City, Bukit Jalil bagi meninjau persiapan akhir temasya Sukan SEA ke-29 yang bermula secara rasmi Sabtu ini.

Sultan Sharafuddin Idris Shah yang tiba jam 10 pagi diiringi Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar meninjau ruangan orang kenamaan di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Dalam lawatan itu, Tuanku turut meninjau beberapa kemudahan sukan antaranya Plaza (Skate Park & Dry Gym), Pusat Akuatik Nasional dan Arena Axiata.

Semasa lawatan itu, Sultan Sharafuddin turut diberikan penerangan berhubung persiapan akhir termasuk aspek keselamatan dan kemudahan lain yang terdapat di kompleks sukan itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) Azman Fahmi Osman berkata, pihaknya sangat berbesar hati dengan kehadiran Sultan Selangor yang berkenan untuk datang dan melihat sendiri persiapan menjelang penganjuran Sukan SEA kali ini.

Katanya, Sultan Selangor menyatakan beliau sangat berpuas hati dengan naiktaraf dan persiapan yang dilakukan menjelang penganjuran Sukan SEA ke-29 ini.

“Tuanku Sultan Selangor melahirkan rasa kagum terutamanya dengan aspek keselamatan yang dilengkapi dengan 465 kamera keselamatan di seluruh kawasan stadium dan kebanyakan kelengkapan yang ada di sini juga setaraf dengan stadium antarabangsa luar negara.

“Untuk persiapan Sukan SEA ini kebanyakan persiapan sudah di tahap akhir dan ada juga venue yang sudah boleh digunakan atlet sepenuhnya seperti pusat akuatik, Stadium Hoki dan pusat skuasy,” katanya.

Sehubungan itu, Azman turut menyatakan perancangan PSM mengubah wajah Stadium Bukit Jalil untuk lebih dekat dengan komuniti sekitar.

Katanya, sebelum ini stadium itu hanya dipenuhi orang ramai apabila ada acara besar dan sangat jarang dikunjungi orang awam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2017 @ 1:05 PM