DIEGO Costa
DIEGO Costa
Reuters

London: Diego Costa menuduh Chelsea melayannya seperti ‘penjenayah’ dalam wawancara akhbar yang akan mengeruhkan lagi hubungannya dengan kelab Liga Perdana Inggeris itu.

Penyerang itu berhasrat kembali ke Sepanyol pada musim perpindahan ini dan tidak menyarung jersi Chelsea sejak final Piala FA Mei lalu, berikutkan dakwaannya bahawa pengurus Antonio Conte menghantar mesej menerusi telefon kepadanya , memberitahu dia tiada dalam perancangan beliau musim baru ini.

Costa ditemubual di rumahnya di Brazil pada hari sama Chelsea tewas perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris di tangan Burnley dan berkata dia enggan mengikut kehendak kelab itu yang mahukannya menyertai skuad simpanan.

“Mereka mahukan saya berlatih dengan pasukan simpanan. Saya tidak dibenarkan masuk ke bilik persalinan pasukan utama dan tidak boleh menghubungi mereka,” katanya.

“Saya bukannya penjenayah! Saya tidak fikir ia sesuatu yang adil selepas apa yang saya lakukan untuk dilayan seperti itu.”

Pemain Sepanyol kelahiran Brazil itu yang menyertai Chelsea dari Atletico Madrid pada 2014, berkata jika kelab itu tidak membenarkannya berpindah sebelum tamat musim perpindahan, dia sedia menamatkan kontrak tanpa dibayar.

“Saya tidak kisah berada di Brazil tanpa bermain selama setahun, biarpun Chelsea mendenda saya selama setahun dan tidak membayar saya. Saya akan kembali lebih kuat. Jika saya silap, saya akan kembali sekarang dan ikut kemahuan mereka.

“Saya mahu kontrak dengan Atletico diputuskan bulan ini. Saya mahu kembali ke Madrid, berlatih di sana, kembali ke tahap fizikal terbaik dan sedia beraksi sebelum Piala Dunia.”

Situasi itu bertambah rumit apabila Atletico ketika ini dilarang daripada membeli pemain baru biarpun mungkin dibenarkan meminjam pemain.

Hubungan Costa dan Conte dilihat semakin keruh biarpun pemain Brazil itu menganggap jurulatih Itali itu sebagai ‘jurulatih yang baik’.

Minggu lalu Conte berkata ‘tiada berita’ berhubung situasi Costa namun awal musim panas lalu berkata ‘ia sudah selesai’.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2017 @ 10:28 AM